Ahad, Oktober 18, 2015

Bukit Melawati Kuala Selangor

Bukit Melawati Kuala Selangor - Saya berpeluang mengunjungi sebuah tempat menarik dan bersejarah yang terletak di Bukit Melawati, Kuala Selangor ketika cuti hari minggu waktu tengah jerebu teruk melanda, suasana redup dan nyaman je, tanda seakan hari nak hujan. Bawa bersama makcik dan anak-anaknya bercuti disini kerana dekat dengan lokasi kami dan juga satu destinasi bajet yang tidak mengeluarkan belanja yang besar. Salah satu ialah pelajaran ditempat yang sangat bersejarah bagi negeri Selangor, kubu kuat dan juga pertahanan dan sistem pentadbiran, ikuti sejarah Bukit Melawati dibawah.

Sejarah Bukit Melawati Kuala Selangor

Muzium sejarah Bukit Melawati
Muzium sejarah Bukit Melawati

Bukit Melawati Kuala Selangor adalah merupakan pusat pentadbiran dan juga kubu kuat Kesultanan Melayu Selangor di akhir abad ke 18 dan awal abad ke 19. Sultan Ibrahim (1782-1826) telah mendirikan sebuah kota di Bukit Melawati bagi mempertahankan Kuala Selangor dari serangan Belanda.

Kota tersebut bagaimanapun telah jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1784 dan dinamakan "Kota Altingsburg" bersempena nama Gabenor Belanda di sana. Namun Sultan Ibrahim telah berjaya menawan kembali kota tersebut pada Januari 1785 dengan bantuan pahlawan-pahlawan dari Pahang. Ini adalah kejayaan pertama seorang Sultan dari Tanah Melayu berjaya mengalahkah satu kuasa besar Asing di Tanah Melayu. Kota Melawati ini telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah dibawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 8 September 1977.

Antara tempat menarik Bukit Melawati

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor adalah muzium menyimpan segala khazanah sejarah kesultanan dan cerita disebalik Bukit Melawati yang menjadi rebutan disebabkan kawasan dan tempat yang sesuai dijadikan peninjau untuk pertahanan, Banyak kisah sejarah jika anda lawati muzium sejarah Bukit Melawati ini.


Pintu gerbang Bukit Melawati

Pintu gerbang Bukit Melawati
Menurun bukit menuju Pintu Gerbang

Pintu gerbang yang akan menggamit kehadiran pelancong, Bukit Melawati terkenal dengan tempat pelancongan wajib daerah Kuala Selangor, Bukan pintu gerbang sahaja yang menarik disini bila cuti umum atau hari minggu disediakan trak train untuk anda bersiar siar diatas, tidak dibenarkan membawa kenderaan anda sendiri. Replika Rumah Api Kuala Selangor antara mercu tanda anda sudah sampai di Bukit Melawati.

Daerah Kuala Selangor adalah merupakan pecahan kawasan pentadbiran bagi negeri Selangor. Ia dibahagiakan kepada beberapa daerah dan setiap daerah dibahagikan kepada beberapa mukim. Di Kompleks ini masih terdapat berbagai tinggalah Sejarah diantaranya ialah tembok Kota yang masih berdiri teguh, bekas tapak istana, rumah Api, Batu Hampar dan lain-lain. 

RUMAH API

Rumah api Bukit Melawati
Rumah api Bukit Melawati


Rumah Api yang terletak di atas Bukit Melawati juga dikenali sebagai Rumah Api Altingsburg bersempena dengan nama Gabenor General Belanda dibina pada tahun 1907 dan beroperasi secara rasminya pada 1910. Ketinggian Rumah Api ini adalah 25.3 meter dari dasar laut dan 27 meter dari darat dengan sinaran lampunya mampu memancar sehingga 56 kilometer. Bukit Melawati juga adalah salah satu lokasi tempat melihat anak bulan Ramadhan dan Syawal setiap Tahun. Bangunan disebelah meriam itu adalah tempat untuk melihat anak bulan dilakukan.

BATU HAMPAR

Mengikut sejarah dari zaman ke zaman, batu hampar ini dikatakan berasal dari batu tambatan bahtera. Batu berukuran  5 x 5 kaki ini dikatakan pernah menjadi tempat seorang dayang istana yang dipancung kepalanya akibat perbuatan zina yang menyebabkan Sultan menjadi murka. Darahnya dikatakan disimbah disekitar kota Melawati sebagai pengajaran kepada rakyat agar tidak melakukan perbuatan zina. Selepas kejadian itu juga dikatakan , sebatang pokok yang terletak berhampiran dengan batu hampar itu akan berdarah sekiranya ditoreh seolah-olah terkena sumpahan akibat hukuman itu. Pernah berlaku beberapa orang anggota ekspedisi menjelajah Kuala Selangor dilihat cuba menoreh batang pokok angsana itu dan ternyata ia mengalirkan getah berwarna merah.

BUSUT MALAWATI

Terletak kira-kira 80 ela di hadapan pintu kota, terdapat pohon Sena yang telah berusia 200 tahun. Ia dikatakan adalah tempat Sultan bersemayam untuk berihat dan menyaksikan ayam bersabung. 

MAKAM DIRAJA DAN MERIAM PENGGAWA

Makam Diraja Selangor ini terdiri dari 3 makam Sultan Selangor iaitu:

  1. Sultan Selangor Pertama - Sultan Salahuddin (1742-1778)
  1. Sultan Selangor Kedua - Sultan Ibrahim (1778-1826)
  1. Sultan Selangor Ketiga - Sultan Mahmud (1826-1857)
Meriam Penggawa ini sentiasa dibalut dengan kain kuning dan terletak di dalam kawasan makam 3 orang Sultan Selangor. Ianya ditemui di pinggir Sungai Buluh, 12 km ke selatan Kuala Selangor pada 23 September 1966. Nama asalnya ialah Petoi Boga bererti Puteri Putih. Dinamakan Meriam Penggawa adalah atas kerana inisiatif Datuk Penggawa Permatang Paduka Mahabijaya Kuala Selangor yang membawa meriam itu ke tempatnya sekarang. Pernah diceritakan bahawa meriam ini pernah 2 kali meletup dengan sendirinya.

PERIGI BERACUN

Perigi Beracun Bukit Melawati
Perigi Beracun

Perigi ini airnya berisi racun, hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Airnya diisi sehingga paras dagu sebagai penyiksaan kepada penderhaka. Terletak di hadapan Muzium Kuala Selangor. Jika anda berkunjung ke Bukit Melawati boleh la singgah ke perigi beracun sebagai tinggalan sejarah.

Lutong Silverliaf Monkey

Lutong / Silverleaf Monkey
Lutong / Silverliaf Monkey

Lutong adalah species yang berada dalam kategori 'Hampir terancam'. Kewujudan populasi Lutong spesis Trachpithecus cristatus yang hidup dalam kelompok yang besar di Bukit Melawati di Kuala Selangor kerana terdapatnya kawasan pemeliharan hutan paya bakau berhampiran bukit dan kaki bukit. Lutong ini nampaknya dah biasa dengan manusia, boleh bagi makan dan duduk meriba dan memanjat. Makanan lutong pun ada dijual disini, mereka memang jinak tetapi boleh bersifat aggresif sekiranya diganggu, berkesempatan bergambar bersama lutong, kami dapat anak lutong yang comel dan manja dengan kami. nak beri nama simanja di Bukit Melawati.

Kepada mereka yang berkesempatan ke Kuala Selangor, jangan lupa untuk singgah ke Bukit Melawati kerana terdapat banyak pemandangan yang menarik disamping dapat juga untuk kita menghayati kesan-kesan sejarah tinggalan nenek moyang kita yang tidak dapat dilupakan juga berkenalan dengan lutong-lutong yang jinak di sini, rindu pula pada mereka ni sebenarnya, tengok telatah mereka diberi makan, tetapi kena hati-hati pjika nak beri mereka makan, mungkin lutong ini sedikit nakal hehe. Pelancong asing juga rata-rata kagum dengan lutong  atau monkey at Bukit Melawati.

Trak Train

Trak Train Bukit Melawati
Trak train Bukit Melawati

Satu lagi tarikan di Bukit Melawati ialah dengan kehadiran trak train yang baru, kos naik untuk dewasa ialah RM5 siap pakej lawatan ke Puncak Bukit Melawati dan juga Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor. Ramai penumpang boleh naik bagi pelancong yang ingin merasa naik trak train boleh berkunjung bila cuti umum dan hari minggu. Boleh bergambar sebab trak train ni tiada tingkap atau open air terbuka tu yang bagus dan best sangat tu.

Kawasan sekitar yang menarik

Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor
Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor

Taman Ikan Air Tawar Kuala Selangor antara salah satu pakej jika anda berkunjung disini, disediakan trak train untuk mendaki Bukit Melawati dan juga pakej melawat akuarium dan pertunjukan ikan air tawar, serta ayam, burung merak dan peralatan memancing zaman dahulu serta bubu juga ada. Ikan ada yang kecil dan juga besar, cuma saiz tempat ini kecil, masuk tampa pakej kat sini RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor
Taman Alam Kuala Selangor

Sudah tengok ikan, tiba masa nak tengok burung pula, Taman Alam Kuala Selangor menyajikan spesis dan pemuliharaan dan taman serta syurga bagi burung yang berhijrah dan yang menetap disitu, jadi bagi yang menyukai spesis burung boleh datang ke kaki Bukit Melawati, chalet dan penginapan juga ada disediakan. Tempat ini luas dengan hutan paya bakau yang berada di kaki Bukit Melawati tempat sangat sesuai untuk burung tingal dan mencari makan, jika minat sangat nak lihat pelbagai spesis burung boleh datang sini mencari ketenangan minda.

Itulah sahaja cerita lawatan kami ke Bukit Melawati Kuala Selangor, yang ingin dikongsi dan selamat melawat negeri Selangor dan selamat datang kami ucapkan.

Tag : Jom Jalan

Baca : Bukit Melawati Kuala Selangor - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 01 / 08 - Santai Riadah314>www.inamurni.com Copyright © 2015

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon