Sabtu, April 04, 2015

Peluang masuki pasaran luar negara

Berita - Peluang masuki pasaran luar negara

Raja buah itu diberi penghormatan untuk mengetuai produk jenama Malaysia sempena pembukaan Agrobazaar Malaysia di Singapura.

Di Malaysia, buah durian kerap kelihatan di tepi jalan dengan susunannya hanya beralaskan meja kayu atau pangkin lusuh.

Namun, kreativiti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan imej produk Malaysia di mata dunia serta memberi perspektif baru.

Siapa sangka, durian kini boleh dibeli segar dengan tahap kualiti pemantauan rapi oleh agensi pemasaran itu.

Musang King atau durian Kunyit, D24 dan IOI antara beberapa jenis durian popular yang menjadi pilihan rakyat negara kota singa.

Selain durian, Agrobazaar Malaysia di Singapura menempatkan pelbagai buah-buahan tropika seperti rambutan, nanas, betik Hong Kong, longan, durian belanda, manggis, jambu air dan tembikai susu.
Malah, sebelum melepasi ‘Tambak Johor’, FAMA sentiasa memastikan semua produk keluarannya memenuhi kriteria keselamatan ditetapkan Lembaga Pertanian Makanan dan Veterinar (AVA) Singapura.

Agrobazaar Malaysia ke Singapura akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong Rabu ini.

Projek ini membuka peluang lebih luas kepada kedua-dua negara bekerjasama meningkatkan hubungan dagang dua hala.

Pastinya, penubuhan Agrobazaar akan membuka peluang kepada petani tempatan memasarkan produk pertanian berkualiti ke luar negara.

Malah, lebih 200 produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) termasuk di bawah bumbung Agromas mendapat ruang perniagaan yang eksklusif itu.

Peluang di negara Temasik itu diperoleh penulis ketika menyertai Program Media Tour FAMA (MeTFAMA) @ Singapore 2014, baru-baru ini.

Seramai 30 pengamal media cetak dan elektronik berpeluang mengikuti program tiga hari bermula 19 hingga 21 Ogos lalu.

Bermula dari KL Sentral ke JB Sentral, perjalanan itu mendapat kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bertemakan FamaRaya@KTM 2014, perjalanan kira-kira enam jam itu antara pengalaman penulis dalam misi ‘Road To Singapore’ menerusi Sinaran Selatan Ekspres.

Program dirancang Bahagian Komunikasi Korporat, FAMA turut mendapat penyertaan usahawan bimbingan FAMA.

Antaranya, pengeluar produk sejuk beku, Fatihah Frozen Food Sdn Bhd oleh Pengarah Urusannya, Fatihah Anis Ibrahim; Pearl Walit Global diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zamri Abu dan pengeluar dan pembekal Coklat IQ, CocoDamia diwakili Pengurusnya Khairuddin Muhammad.
Turut serta, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Operasi) Sharifah Hashim dan Pengarah Kanan Bahagian Komunikasi Korporat, Noor Azian Mustapa 

Majlis pelepasan disempurnakan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak sebelum disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaakob.

Sharifah berkata, Agrobazaar itu cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena Bajet 2014.

Susulan itu, FAMA dipertanggungjawab untuk merealisasikan penubuhan Agrobazaar pertama di luar negara.

Matlamatnya adalah untuk memperkenalkan buah-buahan dan produk asas tani Malaysia di peringkat global.

Katanya, FAMA mengambil masa enam bulan melaksanakan Agrobazaar Malaysia di Singapura.
“FAMA mencari lokasi sesuai untuk mewujudkan Agrobazaar ini dan 21 lokasi dikenal pasti antaranya Geylang, Orchard Road dan Marina.

“Ini kerana kawasan itu menjadi lokasi strategik pemasaran produk tani, namun akhirnya lokasi Jalan Sultan Gate dipilih kerana kedudukannya sebagai destinasi pelancongan iaitu Arab Street,” katanya.

Pembukaan Agro Bazaar di Singapura, katanya akan dijadikan perintis bagi mempromosikan produk pertanian tempatan di peringkat antarabangsa.

“Dengan nilai jualan RM4 bilion bagi pengeksportan produk pertanian tahun lalu memperlihatkan transformasi sektor pertanian industri asas tani ini mampu menjana ekonomi negara di masa depan.

“Ini sekali gus meningkatkan ekonomi dan agro pelancongan kedua-dua negara itu,” katanya.

Katanya, FAMA melaksanakan Konsep frucerant iaitu gabungan fruit (buah-buahan), grocery (runcit) dan restaurant (restoran).

“Buah-buahan merujuk kepada buah durian dan buah tropika segar, runcit membabitkan produk keluaran industri asas tani (IAT) dan restoran adalah produk F&B (Food & Beverage) seperti KopieSatu,” katanya.

Katanya, pengunjung Agrobazaar juga dapat menikmati hidangan popular Malaysia seperti nasi lemak, asam pedas, tempoyak, mi rebus dan sate.

“Agrobazaar juga menyediakan perkhidmatan ‘jual di bawah dan makan di atas’.
“Dengan empat lot kedai dua tingkat, pengunjung dapat menikmati suasana lebih terbuka di bahagian atas kedai,” katanya.

Katanya, bagi rakyat negara kota singa yang tidak gemar berdepan kesesakan lalu lintas, Agrobazaar adalah pilihan terbaik.

Menurutnya, Agrobazaar membantu negara mempromosi produk pelancongan kedua-dua negara.

“Singapura mempunyai populasi penduduk 17.5 juta iaitu lima juta warga negara dan selebihnya pelancong luar.

“Aktiviti pelancongan rancak di Singapura apabila syarikat pelancongan negara terbabit menawarkan pakej pelancongan agro ke lokasi menarik di negara ini,” katanya.

Sumber: Mymetro

Tag : Berita

Baca : Peluang masuki pasaran luar negara - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 109 - Matlamat 179>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon