Sabtu, April 11, 2015

Legasi perniagaan kerepek melonjak

Berita - Legasi perniagaan kerepek melonjak

Dua pekerja mengupas kulit ubi kayu sebelum diproses menjadi kerepek.

KOTA TINGGI 20 Nov. - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Perumpamaan itu yang menggambarkan kelangsungan perniagaan memproses dan membekal makanan ringan tradisional yang diusahakan Mohd. Jofrry Selamat, 65, dan isteri, Sabiah Saleh, 61, dari Felda Papan Timur di sini sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Bermula secara kecil-kecilan dengan modal sebanyak RM500, produk antaranya kerepek ubi dan cakar itu kemudiannya dijual sendiri oleh Mohd. Jofrey di sekeliling tanah rancangan itu dengan menggunakan motosikal.

Berkat kesungguhan dan kerja keras pasangan itu, mereka akhirnya berjaya mengembangkan perniagaan sedia ada hinggalah mampu menyewa sebuah kedai di Felda berkenaan untuk dijadikan pusat pemerosesan dan jualan.

Kelangsungan perniagaan pasangan itu tidak terhenti di situ malah diteruskan oleh dua daripada empat anaknya iaitu Rozaimah, 45, dan Shaifuzi, 35.

Baca juga - Kerepek Ubi Kayu Tawau Yang Unik

Syarikat Usaha Sama (SUS) yang ditubuhkan keluarga tersebut kini semakin berkembang maju dan telah menghasilkan lebih 20 produk makanan ringan, antaranya ubi masin, kerepek pisang, semperit dan yang paling popular iaitu ubi pedas.

Menceritakan tentang perniagaan anak beranak itu, Shaifuzi yang bertindak sebagai pengurus syarikat mengakui kejayaan yang ditempa hari ini tidak datang bergolek kerana mereka pernah mengalami turun naik dalam perniagaan.

Pada mulanya, emak hanya mengusahakan perniagaan ini di belakang kedai runcit dengan hanya berbekalkan sebuah kuali dan produk-produk yang dihasilkan ketika itu dijual menggunakan motosikal selain diletakkan di kedai-kedai runcit berhampiran.

"Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Produk emak ketika itu pernah dilarang dijual di kedai apabila peniaganya mendakwa tidak sedap dan tidak laku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Baca juga - Berita kerepek ubi Batu Pahat

Shaifuzi memberitahu, apa yang terjadi tidak pernah mematahkan semangat ibunya, malah dijadikan sebagai satu cabaran bagi menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti tinggi.

Keazaman dan sikap cekal yang ditunjukkan oleh Mohd. Jofrry dan Sabiah itu sedikit sebanyak menjadi pendorong dan ikutan dua beradik itu apatah lagi sering mengikuti ibu bapa mereka itu berniaga sejak kecil.

"Mungkin sebab sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan alam perniagaan memberi kelebihan kepada kami kerana lebih awal merasai asam garam dalam perniagaan.

"Alhamdulillah, produk-produk kami ini bukan sahaja telah berkembang sehingga ke Lembah Klang, malah turut dikenali pelancong khususnya dari Singapura yang berkunjung ke daerah ini," katanya.
Menurutnya, syarikat tersebut yang mempunyai 13 pekerja turut dilengkapi dengan beberapa mesin berteknologi tinggi bagi memastikan pengeluaran produk dalam kuantiti yang lebih besar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Ini kerana permintaan terhadap produk makanan ringan tradisional tersebut akan bertambah setiap kali menjelangnya perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau musim perayaan, kami memperuntukkan lebih 100 tan metrik ubi kayu. Seperkara menarik yang saya boleh kongsi pada hari raya, orang ramai terpaksa beratur untuk dapatkan ubi pedas kerana permintaannya sangat luar biasa," katanya.

Ditanya perancangannya pada masa depan, Shaifuzi dan Rozaimah sepakat mahu mengembangkan lagi produk-produk keluaran SUS di seluruh negara selain memastikan anak cucu mereka dapat meneruskan legasi perniagaan tersebut sampai bila-bila.

Kejayaan syarikat SUS tidak hanya dinikmati Mohd. Jofrry dan Sabiah bersama anak-anaknya, malah mereka turut membantu peniaga lain khususnya yang baharu bertapak dalam bidang perniagaan.


Shaifuzi memberitahu, pihaknya membantu menjual produk-produk usahawan lain, antaranya dari Felda Waha, Felda Lok Heng termasuk Pusat Dalam Komuniti Mas Timur.

Antara produk-produk yang dijual itu ialah makanan sejuk beku, epok-epok mini, kuih siput, popiah dan kuih kapit.

"Dulu kita susah, jadi kita tahu macam mana jerih perih berniaga. Justeru, bila diberi kesenangan, janganlah kita lupa diri sebaliknya gunakanlah kesempatan itu untuk membantu orang lain pula.

"Jika kita ikhlas dalam berniaga ini, pintu rezeki akan sentiasa terbuka. Itulah pegangan saya dari dahulu lagi," katanya.

Baca juga - Kisah kejayaan usahawan IKS Malaysia

Katanya, kewujudan SUS di Felda sedikit sebanyak membantu warga tanah rancangan itu, khususnya golongan suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan.

Bagi Normah Mohd., 38, bekerja di syarikat tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk memperoleh pendapatan sampingan.

"Daripada buang masa baik kami bekerja, dapat jugalah duit untuk beli barangan harian. Waktu kerja pula fleksibel kerana waktu tengah hari boleh pergi ambil anak balik sekolah.

"Lagipun, saya dah beberapa tahun bekerja di sini dan suka dengan suasana kerjanya selain mempunyai majikan yang baik," katanya.

Sumber: Utusan Online

Baca : Legasi perniagaan kerepek melonjak - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 119 - Matlamat 191>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon