Jumaat, April 10, 2015

Kulit popia bawa kejayaan

Berita - Kulit popia bawa kejayaan

Faiz Asraf Sulaiman bersama produk kulit popia goreng yang berjaya dikomersialkan di bawah jenama Empire's Crackers.

PEMBABITAN Faiz Asraf Sulaiman dalam dunia perniagaan berlaku secara kebetulan, malah dia sama sekali tidak pernah menduga percubaan pertama dengan tiada pengalaman serta kemahiran 'menjadi'.

Apa yang dilakukannya adalah semata-mata memenuhi permintaan ramai yang ingin merasai kudapan hasil resipi ibunya.

Yang pasti, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor, ini mampu membuktikan kemampuan diri dan tidak malu untuk belajar dari bawah.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan ini, ulas Faiz, kesemua idea datang daripada kakaknya yang gemar makan kulit popia digulung dan digoreng rangup bersalut cili.

Tambah Faiz, kakaknya sudah berusaha mencari makanan tersebut di merata tempat tetapi tidak ketemu malah semakin kerap menyuruh ibunya menyediakan kudapan tersebut.

Faiz turut memberitahu, setiap hari kakaknya tidak akan ketinggalan membawa bekal kulit popia gulung goreng tersebut ke pejabat untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

Bermula daripada situlah Faiz berkata, permintaan daripada rakan-rakan kakaknya semakin banyak secara tidak langsung memberi idea untuk memasarkan secara komersial.

Baca juga - Rezeki popia mini

"Segala-galanya berlaku dengan pantas kerana ketika itu saya masih bekerja di salah sebuah hotel di ibu kota sebagai chef pastri.

"Apabila setiap hari melihat kakak balik dan memberitahu ibu bahawa rakan-rakannya meminta untuk dibawa ke pejabat dan mereka ingin membelinya, terus saya mendapat idea kenapa tidak memasarkan sahaja produk tersebut kerana permintaannya banyak.

"Setelah berbincang dengan ibu serta ayah, akhirnya mereka setuju untuk membantu saya seterusnya memasarkan produk tersebut di pasaran," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak terhenti setakat itu, perniagaan yang diusahakan Faiz sejak Mei tahun lalu semakin mendapat perhatian dan permintaan.

Walaupun berkelulusan dalam bidang kulinari, Faiz sanggup mengikuti kelas mempelajari selok belok bahagian pemasaran dan tidak ketinggalan bidang perniagaan.

Kesemua usahanya ini adalah untuk mencari pasaran produknya yang dikenali sebagai Empire's Crackers.

Hanya menampilkan resipi yang ringkas dan mudah, kulit popia gulung ini sebenarnya sedap dikunyah pada waktu lapang.

Hari ini dengan berpendapatan satu hari menyamai gajinya sebulan ketika bekerja dahulu, anak ketiga daripada empat beradik ini merancang pelbagai strategi masa depan perniagaannya.
Selain menjual produknya secara dalam talian, Empire's Crackers juga boleh didapati di kedai bakeri dan juga kedai mesra stesen minyak.

Tidak terhad di situ, Empire's Crackers juga kini telah berada di pasaran Brunei.
Kegigihan anak muda ini ternyata mencabar usianya yang baru mencecah 22 tahun kerana segala-galanya dilakukan hanya dengan bantuan keluarga tercinta.

Cuma mempunyai pekerja seramai tiga orang untuk menggulung kulit popia, Faiz berbangga kerana walaupun hanya setahun berada di pasaran, dia berjaya mengeluarkan dua lagi perisa Empire's Crackers selain perisa cili iaitu nestum dan milo.

Juga kini dalam perancangan untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak, Faiz memberitahu kajian turut diadakan untuk menambah dua lagi perisa produknya iaitu BBQ dan bersalut madu.

"Saya tahu apa yang dirancang ini mungkin nampak terlalu tamak ataupun terlalu mendadak tetapi disebabkan permintaan yang semakin tinggi ia menjadikan saya begitu bercita-cita tinggi.

"Mungkin selepas dua perisa baru berada di pasaran, saya ingin mengembangkan produk saya kepada produk makanan segera.

"Yang pasti, jenama Empire akan dikekalkan untuk setiap produk keluaran saya," katanya.

Sumber: Utusan Online

Baca : Kulit popia bawa kejayaan - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 117 - Matlamat 189>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon