Jumaat, April 10, 2015

Dulu tumpang, kini tauke

Bermula dengan meman­faatkan lambakan bekalan ubi kayu dari ladang bapa­nya sebagai kerepek ubi pedas basah yang dijual di pasar tani, Zarinah Ibrahim, 51, kini antara pengusaha dan pembekal kerepek ubi utama di Selangor.

Pada 1986, kerepek ubi pedas keluarannya cuma dipasarkan dengan menumpang lot perniagaan seorang rakan di pasar tani Sulaiman Court, Kuala Lumpur (kini bangunan Sogo). 

Sambutan menggalakkan daripada pelanggan memberi semangat untuknya berniaga secara serius. Dia kemudian memohon tapak perniagaan sendiri di pasar tani berkenaan untuk berniaga kerepek ubi pedas dan tapai. 

“Saya mula berniaga tapai pada 1985 bagi menambah pendapatan keluarga. Suami (Mohd Nasir Miskam, 55) yang juga guru akan meletakkan tapai berkenaan di kedai dan warung sepanjang laluan untuknya ke sekolah di Cheras.

“Ketika berniaga di pasar tani, kerepek ubi pedas yang saya bung­kus dalam paket kecil habis dijual. Habis bekalan ubi kayu dari ladang ayah di Ampangan, Seremban, saya dapatkan bekalan ubi kayu di Sungai Pelek, Sepang, iaitu kampung kelahiran suami.

“Setiap minggu kami pulang ke Sungai Pelek untuk mengambil bekalan ubi. Apabila perniagaan semakin maju, pada 1992, kami mengambil keputusan berpindah ke Sungai Pelek dan membeli tanah bagi mendirikan rumah dan kilang kerepek,” katanya ketika ditemui di Kampung Hulu Chuchuh, Sungai Pelek, Sepang. 

Pengarah Ketemu Rezeki Maju (M) Sdn Bhd itu berkata, antara cabaran ialah mendapatkan bekalan ubi kayu berterusan. 

“Kami menghadapi masalah kekurangan bekalan ubi kayu dua tahun lalu. Ubi kayu mengambil masa sembilan bulan sebelum dituai, menyebabkan berlaku kekurangan bekalan jika ia tidak ditanam secara berperingkat. 

“Apabila harga bahan mentah meningkat, kami juga terpaksa menaikkan harga kerepek. Harga ubi kayu pernah naik 100 peratus menyebabkan timbul idea untuk menanam sendiri ubi kayu bagi menjamin bekalan berterusan. 

“Selain itu, wujud per­saingan daripada pengusaha kerepek lain. Di kampung ini saja ada sehingga 30 pengusaha yang menghasilkan kerepek ubi,” katanya. 

Zarinah mengusahakan 40 hektar ladang ubi kayu yang ditanam di tanah yang dipajak di kampung berkenaan dan ladang Teluk Merbau. 

Baca juga - Berita kerepek ubi Batu Pahat

Dia bersyukur usaha gigihnya membangunkan perniagaan berjaya membuahkan hasil. Menerusi sebuah agensi, Zarinah mengeksport kerepek ubi keluarannya ke London dan Dubai pada 2011. 
Bagaimanapun, disebab­kan masalah kekurangan bekalan bahan mentah, dia tidak berani meneruskan kontrak berkenaan. 

“Jika ada rezeki, saya berhasrat memasarkan kembali kerepek ubi saya ke luar negara,” katanya yang kini melatih dan membimbing usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), memproses, mengedar, membekal dan memborong makanan ringan serta hamper. 

Memiliki 10 pekerja, Zarinah meraih pendapatan bersih kira-kira RM7,000 sebulan selepas ditolak gaji pekerja dan kos. 

Pendapatannya berkurangan berbanding dulu kerana menanggung kos bahan bagi penghasilan kerepek yang semakin meningkat. Sebelum ini, dia mampu meraih antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan. 

Zarinah bersyukur usahanya membangunkan perniagaan itu mendapat banyak galakan daripada agensi berkaitan. 

Baca juga - Kisah kejayaan usahawan IKS Malaysia

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) antara agensi awal yang banyak memberi laluan untuknya berniaga, iaitu dengan menyediakan tapak perniagaan di pasar tani dan Jabatan Pertanian memberi bantuan mesin menggoreng, mesin pemotong ubi kayu dan mesin pemutar bancuhan perisa kerepek secara percuma dan berperingkat. 

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang pula menanggung kos pembinaan bangunan yang menjadi pusat sehenti atau jualan kerepek. Selain produk keluarannya, Zarinah membantu pengusaha kecil lain memasarkan produk mereka menerusi pusat sehenti berkenaan. 

Zarinah turut mendapat tunjuk ajar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam menghasilkan perisa berlainan untuk kerepek ubi keluarannya.

Sumber: Metro

Baca : Dulu tumpang, kini tauke - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 116 - Matlamat 188>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon