Sabtu, Mac 28, 2015

Penting guna barang tempatan

Berita - Penting guna barang tempatan atau pentingnya penggunaan barangan tempatan

Soalan: Suatu aspek yang penting dalam pakej rancangan fiskal ialah menggalakkan penggunaan tempatan. Ini bermakna, kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia meningkatkan perbelanjaan. Bagaimana ini boleh membantu mengatasi kelembapan ekonomi? Tidakkah rakyat sepatutnya membuat simpanan untuk kegunaan masa depan?

Jawapan: Dalam keadaan di mana permintaan luar terhadap barangan eksport negara semakin merosot, perbelanjaan penggunaan dalam negeri, terutamanya penggunaan swasta, perlu ditingkatkan bagi mengekalkan momentum pertumbuhan yang berterusan. Ini kerana jika penggunaan swasta dalam negeri turut merosot semasa kelembapan ekonomi maka aktiviti ekonomi dalam negara akan mengalami pengecutan dan seterusnya memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi.

Misalnya, jika orang ramai membuat keputusan tidak membeli pakaian baru semasa kelembapan ekonomi maka permintaan terhadap barangan industri pakaian akan berkurangan. Ini akan memaksa kilang-kilang tekstil mengecilkan saiz operasinya manakala banyak gedung pakaian, peniaga dan industri lain yang berasaskan tekstil turut mengecilkan saiz atau menutup operasinya dan memberhentikan pekerja.

Bagi menggalakkan penggunaan dalam negeri, pendapatan boleh guna (disposable income) di kalangan pengguna perlu ditingkatkan. Dalam hubungan ini, dalam Belanjawan 2001 yang lalu, kerajaan telah memberi kadar rebat yang lebih tinggi kepada pembayar cukai bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang melibatkan 1.2 juta pembayar cukai dan mengurangkan hasil kerajaan daripada cukai pendapatan kira-kira RM434 juta.

Melalui pakej ransangan fiskal, baru-baru ini kerajaan mencadangkan supaya potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan daripada 11% kepada 9%. Bagaimanapun, pencarum dibenarkan membuat pilihan sama ada membuat potongan 9% atau 11% atau lebih. Namun demikian, pencarum tidak perlu bimbang kerana langkah ini adalah bersifat sementara, iaitu selama tempoh satu tahun dari tarikh 1 April 2001 semasa negara dijangka mengalami kelembapan ekonomi.

Dalam menggalakkan penggunaan swasta, kerajaan juga melaksanakan langkah-langkah lain. Antaranya, bagi meningkatkan jualan kereta penumpang, kerajaan telah mengurangkan tempoh kelayakan pinjaman kenderaan bagi kakitangan kerajaan dikurangkan dari 7 tahun kepada 5 tahun. Sementara itu, kakitangan kerajaan yang tempoh perkhidmatan mereka genap setahun adalah layak membuat pinjaman kenderaan.

Selain itu, bagi menggalakkan penggunaan kad kredit, cukai RM50 ke atas kad kredit yang diperkenalkan pada tahun 1997 dimansuhkan.

Langkah-langkah di atas tidak mengurangkan pendapatan pengguna. Oleh itu, ia tidak mempengaruhi kecenderungan menyimpan di kalangan pengguna. Sebaliknya, apa yang dilakukan ialah pendapatan 'boleh guna' di kalangan rakyat ditingkatkan supaya mereka boleh membuat perbelanjaan penggunaan tambahan.

Soalan: Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dikenal pasti sebagai tunjang kepada sektor perindustrian negara. Kerajaan mengiktiraf sumbangan IKS menerusi pembesaran dana dan penubuhan tabung usahawan baru. Bagaimanakah kerajaan melihat sumbangan IKS ketika kelembapan ekonomi dan strategi baru bagi sektor berkenaan.

Jawapan: Sebarang kelembapan ekonomi akan memberi kesan keatas semua industri sama ada besar atau kecil. Ianya akan memberi impak yang berlainan ke atas industri yang berbeza. Walau apa pun impak yang akan dihadapi, dan strategi serta langkah-langkah yang akan diambil, perkara yang perlu diutamakan adalah memberi perhatian kepada daya saing dan kos yang kompetitif.

Di bawah langkah-langkah persediaan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menghadapi kesan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat, salah satu fokus adalah untuk memperbaiki akses kepada pembiayaan terutamanya untuk industri kecil dan sederhana. Ianya bertujuan untuk memastikan pertumbuhan yang berterusan bagi IKS sedia ada dan menggalakkan pertumbuhan IKS baru.

Kita mahukan IKS keluar daripada kelembapan ekonomi dengan lebih kukuh dan bersedia menghadapi persaingan yang semakin sengit. Ini adalah kerana:
IKS menyediakan industri sokongan dan perkhidmatan yang kukuh kepada industri-industri besar.

IKS mewujudkan hubungan rantaian yang lebih luas antara industri dan sesama industri khususnya bagi sektor elektrik dan elektronik, telekomunikasi, automotif dan tekstil serta industri makanan dan minuman.

Walaupun sebahagian besar IKS adalah berorientasikan domestik, namun ianya mempunyai potensi untuk menjadi industri berorientasikan eksport dan menghasilkan tukaran asing untuk negara.

'Ekonomi baru', khususnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sektor teknologi, lebih memilih untuk membangunkan IKS daripada perusahaan besar.

Bantuan untuk sektor IKS adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Memandangkan pentingnya peranan IKS dalam pembangunan perindustrian negara maka kerajaan telah memperkenalkan beberapa strategi baru melalui pakej ransangan fiskal. Antaranya ialah memperluaskan kriteria kelayakan pinjaman dan menambah saiz tabung-tabung seperti berikut: 

Tabung Untuk Makanan (RM1.3 bilion), Tabung Usahawan Baru (RM1.5 bilion), dan Tabung IKS (RM400 juta). Sebuah Tabung Pemulihan dan Pembangunan Usahawan yang baru juga ditubuhkan merangkumi langkah-langkah pemulihan, seperti khidmat nasihat, kontrak baru dan bantuan kewangan. Selain itu, kadar faedah bagi tabung-tabung dikurangkan, iaitu Tabung Untuk Makanan (3.75%), Tabung Usahawan Baru (5.5%) dan Tabung IKS (5.5%).

Soalan: Adakah kerajaan menjangkakan berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran berikutan kelembapan ekonomi Amerika Syarikat? Baru-baru ini Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. Fong Chan Onn telah mengumumkan bahawa lebih kurang 2,000 pekerja diberhentikan setiap bulan. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka yang dihentikan?

Masalah pemberhentian pekerja di negara ini adalah berpunca daripada kemerosotan permintaan terhadap barangan eksport keluaran negara ini, terutama barangan elektronik dan elektrik kesan daripada kelembapan ekonomi Amerika Syarikat. Akibatnya, sesetengah syarikat, terutamanya syarikat asing di negara ini mengambil langkah untuk sama ada mengecilkan saiz operasi, menutup operasi atau memindahkan operasi mereka ke lokasi yang mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah dalam negara atau ke negara lain.

Bagi tempoh Januari hingga April 2001, sejumlah 3,927 orang pekerja telah diberhentikan di mana sebahagian besarnya adalah pekerja tempatan. Pemberhentian pekerja ini sebahagian besarnya berlaku dalam sektor perkilangan di mana kawasan-kawasan perindustrian di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Kedah mempunyai jumlah pemberhentian pekerja yang tinggi. Sebahagian besar mereka yang diberhentikan terdiri daripada kategori pekerjaan sebagai operator pengeluaran, peralatan dan buruh.

Walaubagaimanapun, fenomena pemberhentian pekerja ini adalah bersifat jangka pendek dan ia tidak membimbangkan terhadap prospek pasaran buruh di negara ini. Ini adalah berasaskan kepada faktor-faktor seperti berikut:

Permintaan terhadap barangan elektronik dan elektrik adalah berbentuk struktural dan bergantung kepada keadaan ekonomi dunia. Permintaan dijangka meningkat apabila ekonomi dunia mengalami pemulihan. Dalam hubungan ini, risiko kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat sebahagiannya dapat dibendung oleh kekukuhan ekonomi negara-negara Eropah dan beberapa buah negara Asia di mana kadar pertumbuhan negara-negara tersebut dijangka melebihi Amerika Syarikat.

Ekonomi Amerika Syarikat dijangka mengalami `pembetulan' bagi tempoh suku tahun ketiga dan keempat 2001 diikuti dengan pemulihan pada tahun 2002. Ini adalah berasaskan kepada langkah-langkah Federal Reserve menyesuaikan dasar kewangan dengan mengurangkan kadar faedah dan melaksanakan dasar fiskal yang lebih fleksibel.

Malaysia masih menjadi tumpuan pelaburan asing yang lebih berkualiti bagi membuka dan mengembangkan aktiviti pelaburan mereka di negara ini, terutama bagi industri yang berteknologi tinggi. Misalnya, pada bulan Mac 2001 jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MITI) adalah berjumlah RM2.1 bilion, manakala permohonan pelaburan yang belum diluluskan adalah berjumlah RM1.9 bilion.

Walaupun berlaku pemberhentian pekerja tetapi pada masa yang sama masih terdapat permintaan tenaga pekerja yang tinggi di negara ini. Misalnya, bagi tempoh Januari hingga April 2001 terdapat sejumlah 7,368 kekosongan jawatan yang belum diisi dalam pelbagai sektor dalam ekonomi. Oleh itu, masalah pekerja yang diberhentikan sedikit sebanyak dapat diatasi apabila berlakunya penyerapan tenaga pekerja tersebut ke dalam sektor-sektor ekonomi yang masih mengalami kekosongan jawatan.

Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia telah menyediakan pelbagai program latihan, sama ada untuk lepasan sekolah atau mereka yang dihentikan kerja. Dengan ini, diharapkan lebih ramai pekerja yang dulunya tidak mempunyai apa-apa latihan mengambil kesempatan untuk mendapat kemahiran yang akan membolehkan mereka mencari kerja yang lebih baik di pasaran.

Oleh itu, masalah yang berlaku ke atas pasaran tenaga buruh berikutan daripada pemberhentian pekerja di negara ini adalah bersifat jangka pendek. Dalam jangka panjang, prospek bagi pasaran tenaga buruh di negara ini adalah positif. Ini adalah berasaskan kepada keadaan ekonomi Amerika 

Syarikat yang dijangka mengalami pemulihan pada suku tahun ketiga dan keempat 2001, kedudukan ekonomi negara-negara Eropah dan Asia yang masih kukuh serta usaha-usaha yang dilakukan oleh Malaysia dalam meneroka peluang-peluang pasaran baru yang dijangka dapat meningkatkan permintaan barangan eksport negara. Langkah yang sama penting ialah meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti supaya barangan keluaran Malaysia adalah kompetitif di pasaran antarabangsa.

Sumber: Utusan online

Tag : Berita

Baca : Penting guna barang tempatan - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 105 - Matlamat 174>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon