Khamis, Mac 26, 2015

Kerepek ubi jadi rezeki

Berita - Kerepek ubi jadi rezeki
Abdullah Amat Apandi bercadang untuk membeli ketuhar menggoreng yang lebih besar dan mesin penggaul.

APAKAH yang akan kita lakukan kala doktor menasihati agar kita berhenti kerja kerana kerja-kerja yang kita lakukan saban hari itu kian merosakkan kesihatan. Namun, pada masa yang sama kita juga amat memerlukan biaya buat menyara kehidupan.

Anak-anak yang bersekolah, isteri di rumah dan segalanya, memerlukan wang ringgit untuk perjalanan yang sempurna. Dilema itu menghantui saban hari, sehinggalah tibanya waktu kita sendiri sudah tidak mampu melaluinya lagi, maka apakah yang bakal terjadi?

Demikianlah sorotan kisah silam yang pernah menyulam ranjau kehidupan Abdullah Amat Apandi, 47, sewaktu dia masih bekerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah. Bahan kimia yang menjadi ejen pembuat sarung tangan itu sudah menjadi halwa hidungnya saban hari, lalu merosakkan paru-parunya sedikit demi sedikit tanpa henti. Dia berhadapan dengan kemelut, berhenti bermakna kesukaran juga menanti. Namun, dia tiada pilihan kecuali harus berani menantang apa yang mendatang.

"Pada 2010, dengan nasihat bertalu-talu datang daripada pihak doktor, akhirnya dengan berat hati saya terpaksa melepaskan jawatan di kilang berkenaan. Akibatnya, pendapatan sebanyak kurang lebih RM2,000 sebulan terpaksa ditinggalkan," akui Abdullah.

Hakikatnya, berhenti daripada kilang menyaksikan Abdullah menjadi lintang-pukang meneruskan kehidupan. Lima ke enam bulan berikutnya, dengan sedikit kemahiran dia mencuba pelbagai jenis pekerjaan.

Bukan sekadar itu, Allah SWT mengujinya lagi saat dia terdampar sakit sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Seremban selama dua minggu dan memerap di hospital sebulan lamanya.

Semuanya gara-gara penyakit radang paru-parunya yang menggila setelah sekian lama dia menghidu bahan kimia.

Demikianlah, Abdullah tabah berkongsi kisah sewaktu kunjungan krew Jejak Asnaf, Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lama dahulu ke rumahnya di Sepang. Malah Abdullah melayan kami dengan ramah. Sambil dipuput semilir di atas amben di bawah rumahnya, dia asyik merungkai sehelai demi sehelai kisah lamanya.

"Bukan sekejap, lebih kurang 15 tahun saya terpaksa bergelumang dengan bahan kimia berbahaya berkenaan. Sudahlah saya berhenti membawa kesakitan, tiada sesen pun dititip sebagai balasan oleh pihak majikan. Malah hak saya untuk memohon VSS (Skim Saraan Sukarela) juga dinafikan dengan pelbagai alasan," ujarnya lagi.

Namun kata Abdullah dia bernasib baik, kerana di kampungnya masih ada sebidang tanah kebun pusaka milik keluarga. Di kebun sawit itulah tempat dia menadah rezeki. Dengan hasil kira-kira RM300 ke RM400 sebulan itu jugalah dia cuba memenuhi keperluan keluarganya, walaupun sedar ia masih jauh daripada sempurna.

Dia juga merasa lega, kerana adik-beradiknya tidak pun berkira dengannya malah membantunya setakat terdaya. Malah wang yang diberikan kepadanya semasa terlantar di rumah sakit, diberikannya kepada anak isterinya demi belanja keperluan mereka.

"Setelah keluar dari hospital, saya dikunjungi ketua kampung. Beliau menyarankan kami mendaftar di bawah LZS. Tidak lama kemudian, seorang pegawai zakat pula mengunjungi kami dan beliau turut menjalankan siasatan.

"Akhirnya, alhamdulillah kami disenaraikan sebagai asnaf dan layaklah kami menerima santunan daripada LZS," jelas Abdullah lanjut berisi nada ceria.

Mulai 2011 itu jugalah, Abdullah dan keluarganya diberikan beberapa jenis bantuan zakat, seperti bantuan pendidikan, bantuan Ramadan, wang bulanan dan membaiki kediamannya yang rosak.

Semuanya bagi Abdullah dan keluarganya, ibarat sebuah padang rumput yang kering dan menerima guyuran hujan, basah dan menyuburkan. Itulah yang mereka rasai saat itu.

Setelah keluar hospital juga, Abdullah dan isterinya, Norismawati Dalimun, 38 mulai serius menjalankan perusahaan kerepek ubi, yang sebelum itu hanya dibuat secara sambilan sahaja.
"Sebenarnya saya sangat yakin dengan perusahaan ini, kerana berdasarkan pemerhatian, bekalan kerepek sentiasa mendapat sambutan. Apatah lagi di kawasan kampung ini, memang ramai pengusaha kerepek dan saya lihat tidak putus orang datang membeli kerepek.

"Lagi pun atas inisiatif sendiri sebelum ini, saya telah berkerja sambil belajar cara pembikinan kerepek yang baik dengan orang lain, maka rugilah ilmu membuat kerepek yang baik dibiarkan begitu sahaja," jelas Abdullah panjang lebar tentang kenapa dia amat teruja menjalankan perniagaan kerepek tersebut.

Tidak hanya bermimpi, apa yang difikirkan oleh Abdullah benar-benar menjadi realiti. Buktinya, dia sampai tidak menang tangan melayani permintaan daripada pihak pembekal. Malah, apabila menjelangnya musim perayaan, permintaan mendadak beberapa kali ganda.

"Saya mampu meraih keuntungan sekitar RM600 seminggu, dengan bermodalkan dua tan ubi kayu. Sayangnya bayaran ada kalanya bermasalah dari pembekal," ujarnya lagi.


Sumber: Utusan online

Tag : Berita

Baca : Kerepek ubi jadi rezeki - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 101 - Matlamat 167>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon