Selasa, Mac 24, 2015

Biskut Raya tepati cita rasa

Berita - Biskut raya tepati cita rasa

Bagi mereka yang pernah melayari laman sesawang www.biskutraya.my pasti teruja dengan kepelbagaian aneka biskut raya yang dijual menerusi dalam talian.

Paparan gambar sembilan jenis biskut menyelerakan antaranya snow chocolate, gajus, ice cream, biskut makmur, tart nenas, blueberi, chocolate crunchy, almond tuscany dan sempret cookies memberi pilihan kepada pelanggan memilih biskut kegemaran dengan cara berbeza iaitu pembelian menerusi dalam talian. Tempahan biskut raya ini pula akan terus sampai di hadapan rumah dalam keadaan selamat. 

Bagi pemilik biskutraya.my, Norazlina Kamalrudin, 31, cara penjualan menerusi Internet bukan saja lebih cepat dan mudah malah pelanggan tidak perlu membuang masa dan tenaga mendapatkan biskut raya di luar. 

Bermula pada 2011 ketika menjual biskut raya buatan sendiri kepada kawan sepejabat dan saudara-mara pada musim perayaan, Norazlina mengambil keputusan memasarkannya menerusi Internet berikutan sambutan meriah orang ramai. Tambahan pula dengan penggunaan media sosial yang menjadi medan interaktif kepada pengguna, jadi peluang ini digunakan sebaiknya untuk meluaskan perniagaan.

ANTARA biskut yang dihasilkan Norazlina dan dijual menerusi dalam talian.

“Sebelum menjual biskut raya, saya turut memasarkan produk kecantikan di Internet dan sambutan sangat menggalakkan. Ini memberi idea kepada saya mempromosikan biskut raya di laman sosial Facebook dan blog,” katanya yang mempunyai sijil kejuruteraan mekanikal daripada Politeknik, Kuantan.

Dengan bantuan keluarga, Norazlina yang hanya menghasilkan 10 jenis biskut kemudian menambah sehingga 20 jenis mengikut resipi sendiri. Kali pertama memuat naik gambar ke laman Facebook dan blog, ia mendapat perhatian pelanggan sehingga ramai menyatakan keinginan membeli. 

Memantapkan lagi strategi pemasaran, dia menghantar contoh biskut kepada pelanggan secara percuma bagi membolehkan mereka merasa semua biskut. 

“Setiap sampel biskut saya berikan secara percuma. Secara tidak langsung mereka berpuas hati dan membeli biskut yang menepati cita rasa saja,” katanya. 

Jelas Norazlina, keistimewaan biskut raya jualannya pada rasanya kerana dibuat menggunakan mentega dan bahan berkualiti, menjadikannya lain daripada yang lain. Malah pelanggan yang membeli buat kali pertama menambah pembelian untuk Aidilfitri, seterusnya ada yang membeli secara borong. 

“Daripada orang perseorangan yang kebanyakannya membeli melebihi 10 bekas, kami menerima permintaan untuk menjadi ejen dan menjenamakan produk biskut raya ini dengan jenama mereka sendiri. Ini secara tidak langsung membantu usahawan wanita memulakan perniagaan secara kecil-kecilan pada musim perayaan,” katanya yang menjual mengikut harga pasaran di antara RM23 hingga RM28 manakala harga borong serendah RM17. 

Untuk lebaran kali ini, Norazlina sudah bersedia menyiapkan tempahan sehingga 2,000 bekas bagi memenuhi permintaan pelanggan. Penjualan menerusi dalam talian sudah dimulakan sejak sebelum Ramadan dan kini hampir 100 bekas dihantar setiap hari kepada pelanggan menerusi kiriman pos. 
Bagi mengelak biskut rosak atau hancur, biskut yang lembut seperti tat dan makmur tidak dijual secara pos melainkan pelanggan datang sendiri ke rumah atau menanggung sendiri sekiranya ada kerosakan. 

Bagi memastikan biskut dapat disiapkan mengikut waktunya, dia mengambil 10 pekerja sambilan bagi menyiapkan tempahan. Dalam tempoh dua minggu sebelum raya, ia sangat kritikal dan mencabar kerana dalam jangka masa ini semua kuih raya perlu disiapkan dan dihantar dalam waktu ditetapkan. 

“Bagi yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, kami menyediakan perkhidmatan secara terus manakala di luar kawasan yang dinyatakan di atas penghantaran dilakukan secara pos. 

Namun sekiranya pembelian terlalu banyak, kami akan menghantar terus ke rumah memandangkan kos melalui pos lebih mahal berbanding penghantaran terus,” ujarnya. 

Jelas Norazlina, berbeza dengan barangan kering, penghantaran makanan memerlukan teknik pembungkusan yang teliti dan bekas berkualiti bagi memastikan barang sampai dalam keadaan selamat iaitu biskut tidak hancur dan rosak. Dalam hal ini, pemilihan bekas sangat penting kerana sesetengah biskut seperti tat dan makmur mudah hancur jika terhempas. 

“Pembungkusan sememangnya kriteria sangat penting untuk penjualan dalam talian. Bagi memastikan biskut tidak rosak dan sampai dalam keadaan selamat, saya menggunakan bekas berkualiti dan dibungkus rapi menggunakan plastik khas bagi mengelak bekas bergoncang,” katanya. 

Ditanya mengenai persaingan penjualan secara dalam talian, Norazlina yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan mengakui, dengan perkembangan teknologi maklumat terutama Facebook dan blog promosi dapat dijalankan dengan lebih drastik dan berkesan. Tambahan pula penjualan biskut raya masih kurang di Internet berbanding pakaian atau perhiasan. 

“Dengan persaingan yang kurang, kami mampu menjana peluang perniagaan dengan memberi faedah kepada pelanggan untuk mendapatkan biskut raya daripada biskutraya.my. Malah kami turut menggunakan strategi pemasaran menerusi WhatsApp dan WeChat,” katanya. 

Sebagai pengusaha biskut raya sepenuh masa, jelas Norazlina, perniagaan ini mampu menjana pendapatan berganda kepada suri rumah. Buktinya, setiap kali lebaran dia mampu memperoleh pendapatan sekitar RM15,000 sebulan dan ini berkaitan budaya hidup rakyat Malaysia ketika musim perayaan yang gemar berbelanja. 

Selain itu, dengan jumlah lima juta unit rumah di Malaysia dan setiap isi rumah perlu menyediakan biskut raya sebelum Syawal, sudah pasti ia menjanjikan keuntungan yang sangat lumayan. Apatah lagi dengan kehidupan wanita moden berkerjaya yang sering dikaitkan dengan kurang masa memasak, justeru mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi. 

“Bagi yang ingin menjadi pengusaha biskut raya, mereka boleh bermula dari rumah dengan memperkenalkan biskut raya buatan sendiri kepada kawan-kawan di Facebook dan mengambil tempahan. Jika tidak mempunyai masa, boleh juga menjadi pengedar dengan menjual biskut raya keluaran orang lain,” kata­nya.

Sumber: Mymetro

Tag : Berita

Baca : Biskut Raya tepati cita rasa - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 95 - Matlamat 158>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon