Jumaat, Disember 19, 2014

Usahawan IKS perlu bijak jana pasaran

Usahawan industri kecil sederhana (IKS) sering kali berhadapan masalah apabila ingin memasarkan produk mereka di pasaran. Lazimnya, situasi itu terjadi ekoran mereka tidak mempunyai modal mencukupi dan kekurangan ilmu serta pengalaman.

Perkara ini ada kalanya menjadi kekangan utama kepada golongan usahawan untuk terus berkembang maju dalam perniagaan, apatah lagi sekiranya mereka baru sahaja memulakan perniagaan.

Bagaimana pun, Hairul Ashid Paat, 35, berjaya membuktikan bahawa perkara itu tidak pernah menghalang dirinya untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan malah beliau bijak memilih strategi pemasaran terbaik bagi memastikan produknya mendapat sambutan di pasaran.


Menurutnya, beliau memulakan perusahaan tempe chip sejak dua tahun lalu selepas perniagaan sayur-sayurannya tidak mendatangkan keuntungan lumayan.

“Oleh sebab itu, saya mula memikirkan inisiatif untuk menjana pendapatan dan setelah berbincang dengan kedua ibu bapa, saya mendapat idea untuk menjalankan perniagaan tempe chip ini,” katanya pada Info Agro.

Pengusaha Cahaya Haimas Enteprise ini berkata, ibu bapanya banyak memberi tunjuk ajar dalam pembuatan tempe chip daripada segala aspek termasuk pengeluaran, pembuatan dan pemasaran.

“Ibu bapa saya memang mahir dalam pembuatan tempe mentah di mana ia adalah antara produk perniagaan sayur kami sejak 20 tahun tahun dahulu. Apa-apa pun, saya bersyukur kerana perniagaan kami masih bertahan dan diluaskan melalui penghasilan makanan ringan ini,” katanya.

Walau pun mempunyai produk unik, namun Hairul tidak mempunyai keupayaan mencukupi untuk memasarkan produk tersebut ekoran tidak mempunyai kemahiran dan masih baru dalam bidang IKS.
Atas sebab itu, beliau mengambil keputusan untuk memasarkan produknya melalui pusat jualan setempat produk usahawan IKS Agro Baazar KShoppe MHP Enterprise yang terletak di Sekinchan, Selangor.

Jualan meningkat 60 peratus

Anak kelahiran Selangor ini berkata, pusat sehenti tersebut merupakan pilihan tepat untuk beliau mencari tapak dalam perniagaan di samping menjana keuntungan lumayan.

“Saya hanya memasarkan tempe chip di tempat ini kerana ia mempunyai potensi untuk menarik pelanggan tambahan ia menghimpunkan pelbagai produk dari seluruh negara,” katanya.

Ketika ditanya sambutan daripada pelanggan, Hairul berkata, tempe chip mendapat permintaan menggalakkan di mana kebanyakan pelanggan memuji kerangupan dan lemak produk makanannya itu.

Pada peringkat awal, jualan tempe chip Hairul amat positif meskipun baru di pasaran dan ia mengalami peningkatan mendadak kira-kira 60 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Saya tidak menyangka tempe chip mendapat sambutan hebat tahun lalu dan saya tidak menang tangan dalam memenuhi permintaan pasaran kerana ketika itu, saya hanya menjalankan operasi berseorangan.

“Rentetan itu, saya mengambil jalan selamat apabila menggunakan tiga pekerja bagi memenuhi permintaan terhadap tempe cip ini yang dijangka meningkat menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya menghasilkan tempe chip dalam dua bungkusan iaitu 350 gram per bungkus untuk pasaran runcit dan tiga kilogram (pasaran pukal).

Hairul berkata, produknya mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan tidak kira sama ada di waktu biasa mahu pun musim perayaan.

Secara purata, beliau menghasilkan kira-kira 50 kilogram tempe chip sehari untuk dijual dengan jumlah itu akan meningkat kepada 70 kilogram menjelang musim perayaan.

“Saya amat bertuah kerana dapat memasarkan produk di pusat sehenti ini di mana ia membantu dalam mempromosikan hasil keluaran saya.
Ia juga adalah platform terbaik kerana premis ini menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pelanggan luar,” katanya.

Ketika ditanya rancangan jangka panjang, beliau ingin memberi tumpuan kepada pengeluaran dan pasaran tempe chip tempe bagi memastikan bekalan produk sentiasa konsisten dan dapat dipasarkan ke seluruh negara.

Selain itu, beliau bercadang untuk mempelbagaikan perisa tempe chip bagi memberi pilihan kepada pelanggan dan menjana keuntungan buat beliau.

Galak penyertaan usahawan IKS

Pengurus MHP Enterprise, Musliha Punari berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan hasrat usahawan IKS yang ingin memasarkan produk mereka ke premisnya bagi membantu usahawan IKS meningkatkan pendapatan dan produk masing-masing.
Menurutnya, Hairul merupakan usahawan tunggal yang membekalkan tempe chip untuk premisnya.

“Pada peringkat awal, saya meminta beliau menghasilkan sampel untuk diuji, Setelah yakin dengan kualitinya, saya mula memasarkan produknya pada pertengahan 2010,” katanya.
Beliau berkata, usahawan yang berminat digalakkan menghantar seberapa banyak produk ke premis ini tidak kira untuk pasaran harian atau pasaran bermusim. Apa yang penting adalah produk dihasilkan berkualiti dan mereka perlu konsisten dalam penghantaran bekalan.
“Kami juga memberi khidmat nasihat secara tidak langsung terutama buat usahawan baru bagi meningkatkan kualiti produk dan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Pusat sehenti Agro Baazar K-Shoppe MHP Enterprise adalah pusat jualan produk IKS setempat yang menawarkan 160 jenis produk daripada 80 peserta seluruh negara di mana sebahagian daripadanya merupakan usahawan sekitar Sekinchan dan Selangor 

Sumber : Sinar harian

Tag : Berita

Baca : Usahawan IKS perlu bijak jana pasaran - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 32 - Matlamat 59
>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon