Sabtu, Disember 20, 2014

Sara keluarga dengan kerepek

Tika menjejaki di rumahnya, isterinya memberitahu dia tiada kerana keluar mencari pisang. Lalu, penulis dan Ustaz Shahril Ritin, Pegawai Agihan Zakat Daerah Petaling terpaksa membuntutinya ke sebuah kedai menjual pisang berdekatan. Usaha kami tidak sesia, kerana dia tersenyum.
menerima kehadiran kami untuk menembualnya. Untuk makluman pembaca, responden Jejak Asnaf buat kali ini sudah pun menginjak ke usia emas, yakni menjangkau 60 tahun umurnya.

Namun, dia masih larat mengangkat setandan pisang berkulit hijau yang beratnya dianggarkan melebihi 10 kg. Dia juga masih menanggung sara hidup seorang ibu di samping seorang isteri, anak-anak dan menjaga cucu-cucu. Malah kala bertemu, dia tidak lokek berkongsi cerita gembira dalam kudrat tuanya untuk terus mencari rezeki yang halal. Penulis lantas mengabadikan sekelumit kisahnya di sini, sebagai halwa bersama.

“Saya berhenti kerja pada usia 55 tahun dan kemudiannya cuba melakukan usaha menjual pakaian secara kecil-kecilan. Saya dibantu seorang teman, menjual baju import dari Bangladesh ke kedai-kedai pakaian di sekitar Shah Alam. Memang secara zahir hasilnya agak lumayan; namun ia tidak menjanjikan pendapatan yang berkekalan. Ini kerana biasanya, jualan baju dan pakaian hanya akan laris menjelang musim perayaan.” Demikianlah Supian Suri bin Mohd. Noh, 58 memulakan kisahnya.


Supian dahulu hanyalah pekerja kilang dengan pangkat yang rendah, maka persaraannya tidak menjaminkan suatu pulangan yang besar dan mewah. Setelah bersara pada tahun 2010 itu jugalah, Supian perlu menjaga emaknya yang berusia lebih 80 tahun dalam kondisi tidak begitu sihat, yang datang untuk hidup bersamanya. Sebagai anak yang baik, dia menerima dengan seadanya.

“Bayangkanlah, apabila pekerjaan saya tidak menentu, maka sudah tentu pendapatan juga menjadi tidak menentu. Kala itu, kehidupan menjadi agak sukar. Sungguh pun ada di antara anak-anak saya yang sudah besar; namun mereka juga tidak mampu membantu. Kala itulah saya mula dibantu oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Setelah menjadi asnaf zakat, saya sekeluarga diberikan bantuan yang selayaknya. Jika orang lain mendapat bantuan persekolahan misalnya, begitu jugalah saya. Sehinggalah pada tahun 2012, iaitu sekitar bulan Mei, LZS telah mempelawa saya untuk menyertai satu kursus keusahawanan di Banting. Saya merasa perlu untuk menyertainya, kerana ia adalah peluang bagi saya untuk melakukan sesuatu demi masa hadapan saya sendiri.”

Ternyata pilihan dan tindakan Supian tidak merugikan dirinya, justeru dengan menyertai kursus itulah, LZS seterusnya menyediakan modal permulaan buat dirinya agar dia dapat melakukan anjakan yang lebih jauh.

“Buat permulaan, usaha saya hanyalah dengan membeli kerepek pisang dan ubi daripada pihak orang lain di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam dan kemudiannya, saya membungkuskannya kembali dalam pek yang lebih kecil dan selepas itu, baharulah saya menjualkannya ke beberapa tempat. Ternyata, kerepek memang merupakan produk makanan ringan yang mampu dijual kerana permintaannya juga tinggi.

“Sehinggalah ke sutau hari, saya telah mendapat tahu rahsia sebenar bagi menyediakan kerepek pisang yang sedap dan tahan lama kerangupannya. Maka, sejak itu saya pun mulai memproses sendiri kerepek pisang berkenaan. Alhamdulillah, keuntungannya pun bertambah.”

Menurut Supian, hanya dengan buah pisang seberat 30 kilo gram (kg) dia akan memperolehi 12 hingga 15 kg keperek pisang. Jika kerepek Pisang Nangka maka harga yang dijual ialah RM14 sekilo gram dan jika kerepek Pisang Tanduk pula, dijual dengan harga RM18 sekilo gram.

“Jika ditanya tentang sambutan pembeli, alhamdulillah sambutan kepada kerepek pisang saya memang bagus. Cuma masalahnya, kadang kala sukar pula untuk mendapatkan bekalan pisang mentah. Harga pisang mentah juga selalunya tidak tentu, mengikut di mana kita membelinya. Jika di kebun pisang, lebih murah berbanding di lori. Seperti hari ini, saya juga kena cepat datang ke mari, kerana jika lambat maka pisang yang besar dan gemuk habis dibeli orang lain.”

Dalam pada itu, demi membantu Supian mencapai cita-cita menambahkan pendapatannya, maka LZS juga telah meluluskan bantuan perniagaan kepadanya.

“Jujurnya, saya ingin sangat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak zakat, kerana telah memberikan pelbagai jenis bantuan kepada saya. Antaranya, mesin pemotong, kuali dan juga modal pusingan tunai sebesar RM3,000. Bantuan ini benar-benar memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan usaha perniagaan ini.”

Siapa menyangka, dengan status bersara tanpa pendapatan tetap, kini Supian sudah mampu menjana pendapatan purata RM1,500 sebulan. Bahkan, Supian kini sudah berangan-angan untuk membekalkan kerepeknya ke pasaran yang lebih luas.

“Jika boleh, saya nak bekalkan kerepek saya ini hingga ke luar negara.” Ujarnya penuh bangga dan harapan berbunga sambil tidak lupa mendoakan kebaikan buat mereka yang telah membantunya selama ini.

Nota: Supian Suri membekalkan kerepek pisang ke serata tempat dan sesiapa yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-342 9855.

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Sumber : LZS mais

Tag : Berita

Baca : Sara keluarga dengan kerepek - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 36 - Matlamat 64
>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon