Selasa, Disember 30, 2014

PSM Jangka RM10 Juta Tempoh Tiga Tahun


PSM Jangka Jualan Meningkat Kepada RM10 Juta Dalam Tempoh Tiga Tahun


BAGUS... Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menunjukan kerepek ubi kepada para wartawan semasa mengadakan lawatan ke perusahaan Sepang Maju Sdn Bhd. Foto: Shaifuldin 

SEPANG, 3 Jan (Bernama) - Pengusaha kerepek ubi kayu, Perusahaan Sepang Maju Sdn Bhd (PSM) menyasarkan jualan RM10 juta setahun dalam masa tiga tahun dengan pembesaran kapasitinya.
Syarikat itu kini mencatatkan hasil jualan antara RM120,000 dan RM140,000 sebulan.

Bagi memenuhi keperluan bahan mentah, ia telah memetarai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Tembakau Malaysia untuk mengusahakan tanah seluas 400 hektar di Pasir Putih Kelantan.
MoU tersebut telah dimeterai pada 18 Dis tahun lalu sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Selangor.

Dalam tempoh terdekat, PSM bercadang meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 30 sehingga 40 tonne sebulan mulai Febuari ini, berbanding 25 dan 30 tonne sekarang.

Di bawah MoU itu, PSM akan mendapatkan bekalan ubi kayu daripada para petani yang mengusahakan ladang tanaman ubi kayu sebagai mengganti tanaman tembakau dalam tempoh 10 ke 15 tahun.

"Usaha ini adalah untuk membantu para petani yang sebelum ini mengusahakan tembakau dengan beralih kepada tanaman ubi kayu," kata Pengarah Urusan syarikat tersebut, Zamri Jamaluddin kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Pada masa ini, seluas 40 hektar ladang tersebut telah ditanam dengan ubi kayu, dan dijangkakan akan diperluaskan kepada 400 hektar, katanya.

Menurut Zamri, projek ladang ubi kayu tersebut adalah sebagai menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan tanaman tembakau dengan mencari tanaman alternatif.
Ladang ubi kayu yang akan diusahakan di Kelantan itu dijangka bermula pada Februari depan, katanya.

Buat masa sekarang, PSM mendapatkan bekalan ubi kayunya dari ladang sendiri seluas 10 hektar di daerah Sepang dan juga dari para petani di sekitar kawasan berkenaan.

"Bagi membantu petani di sekitar sini, kami menjadi vendor produk mereka, dengan membeli produk dan melakukan pembungkusan semula dan memasarkan produk tersebut," kata Zamri.

"Saya yakin perusahaan kerepek ubi sebegini mampu pergi lebih jauh lagi dengan rancangan pemasaran yang teratur dan penambahbaikan terhadap produk yang dihasilkan," kata Zamri.

Bagi perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) seperti yang diusahakannya, katanya memerlukan persediaan yang rapi sebelum menerokai pasaran antarabangsa dari segi mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi, pembungkusan yang menarik dan paling penting memastikan produk kerepek ubi kayu mampu bersaing dengan produk yang sedia ada di pasaran.

Buat masa sekarang PSM memberi tumpuan kepada pasaran tempatan, katanya sambil menyatakan sebahagian dari kerepek ubi syarikatnya dipasarkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan mengguna jenama Agromas.

PSM memasarkan kerepek ubi kayu menggunakan jenama Mr Rizal's. Ia boleh didapati dalam tujuh perisa: masin, asli, lada hitam, pedas basah, pedas kering, kari dan barbeku.

Produk syarikat itu juga telah meraih beberapa anugerah antaranya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga pada Karnival Hari penternak dan Peladang peringkat negeri Selangor bagi tahun 2007 untuk kategori kerepek ubi kayu.

Menurut Zamri, Mr Rizal's pernah memenangi Anugerah Pemasaran Gemilang daripada FAMA pada tahun 2007.

Zamri menceritakan perusahaan kerepek ubi kayu itu diasaskan oleh bapanya, Jamaluddin Singah pada tahun 1986, seorang pesara tentera. Kini syarikat itu menjadi sebuah perusahaan keluarga.

Zamri, bekas graduan kejuruteraan dari Jerman berkata, PSM berjaya mengembangkan perniagaannya dengan lebih agresif selepas menjalankan kajian pasaran dengan bantuan serta bimbingan Jabatan Pertanian Selangor, FAMA serta Institut Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Sumber : Bernama

Tag : Berita

Baca :  PSM Jangka RM10 Juta Tempoh Tiga Tahun - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 65 - Matlamat 99
>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon