Jumaat, Disember 19, 2014

Kerepek sukun Pulau Aman

BATU KAWAN: Kerepek sukun mungkin belum begitu sebati dengan tunas rasa kebanyakan orang namun ramai tidak menyedari keunikan rasanya yang lemak manis itu mampu menjadi snek istimewa santapan seisi keluarga.

Selain dijadikan kerepek, kepingan sukun juga boleh disalut tepung dan digoreng, dijadikan bubur atau direbus dan dimakan dengan sambal kacang bersama sayuran lain.


Bagi Mahani Abdullah, 65, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Pulau Aman, kerepek sukun merupakan antara produk terlaris dan digemari pengunjung ke pulau itu kerana keunikan rasanya yang sangat lemak.

“Mungkin disebabkan pokok ini tumbuh di kawasan pulau yang sekelilingnya air masin sebab itu rasa buahnya sedikit berbeza. Pokok sukun ini berbuah dua kali setahun, biasanya apabila tiba musimnya memang tak menang tangan kami nak buat kerepek,” katanya ketika ditemui Bernama.

Setiap bungkus kerepek sukun dijual dengan harga RM10, dan menurutnya pengunjung yang datang lazimnya akan membeli lebih daripada lima bungkus seorang.

Mahani berkata buah sukun juga boleh dipelbagaikan dengan dimasak lemak seperti masak lemak nangka atau dijadikan tepung atau kanji sebagai bahan membuat kuih-muih dan puding.

Pokok sukun atau nama saintifiknya Artocarpus altilis yang mendominasi penempatan perkampungan nelayan itu berbuah dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan hujung tahun.

Di Pulau Aman jugalah terdapatnya pokok sukun tertua di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Pohon istimewa yang berusia lebih 120 tahun dan masih mampu mengeluarkan buah yang banyak itu ditanam pada tahun 1890 oleh seorang guru al-Quran di kenali sebagai Awang Akib.

Selain kerepek sukun, Mahani juga mengusahakan produk IKS lain seperti kuih kapit, kuih bakar dan bahulu yang dimulakan sejak 1995.

Beliau berkata pihaknya memang berhajat untuk memasarkan kerepek sukun luar dari Pulau Aman tetapi bekalan buah yang tidak mencukupi di samping permintaan yang tinggi daripada kalangan pengunjung ke pulau kecil itu menjadi halangan untuk meluaskan pasarannya.

Bagi membantu mengembangkan industri di perkampungan nelayan itu, setiap pengusaha IKS di Pulau Aman mendapat bantuan kewangan dan peralatan daripada agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Untuk kerepek sukun kami dapat bantuan mesin pemotong, dan untuk penghasilan kuih-kuih tradisi yang lain kami juga ada menerima bantuan peralatan. FAMA juga merancang untuk membina kiosk bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri penghasilan kuih tradisi dengan cara lama,” katanya.

Perkampungan kecil berkeluasan 115.2 hektar itu yang dahulunya dikenali dengan nama ‘Pulau Keramat’ turut menyediakan 20 inap desa dan 13 buah chalet serta tapak perkhemahan.

Mahani berkata selain kerepek sukun dan mi udang, belacan Pulau Aman juga sangat popular dan mempunyai permintaan yang tinggi, bagaimanapun industri itu kian mengecil kerana bekalan udang yang semakin berkurangan. — Bernama

Sumber : theborneopost

Tag : Berita

Baca : Kerepek sukun Pulau Aman - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 35 - Matlamat 63
>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon