Sabtu, Disember 20, 2014

Karnival SME bantu usahawan IKS

Orang ramai tidak ketinggalan membeli produk IKS dari gerai pameran Karnival SME Sabah 2013 di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 22 Ogos - Karnival SME Sabah 2013 di Pusat Perdagangan Sabah sempena Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia baru-baru ini berjaya menarik kira-kira 100,000 pengunjung.

Karnival selama lima hari itu melibatkan sebanyak 250 gerai yang menjual dan mempamerkan pelbagai produk IKS seperti makanan, kraf tangan, pembuatan, pertukangan dan pembungkusan dari seluruh negeri.


Walau bagaimanapun, gerai yang paling menjadi tumpuan para pengunjung semasa karnival tersebut adalah produk makanan tempatan dan produk barangan eksotik.

Antara makanan yang dipamer dan dijual adalah amplang, kuih cincin, rumpai laut (kering yang telah diproses), kerepek ubi dan pisang, kuih lidah, rempeyek, belacan, penyaram dan baulu.

Pelbagai cara digunakan pengusaha IKS bagi melariskan produk masing-masing termasuk memberi peluang kepada pengunjung merasai produk makanan mereka.

Seorang peserta Minggu IKS Malaysia menunjukkan produk belacan yang dijual dalam Karnival SME Sabah, baru-baru ini.

Karnival terbesar anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri itu seharusnya wajar diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk meluas dan mengukuhkan pasaran produk IKS.
Ini kerana karnival itu dapat memberi peluang kepada pengusaha IKS di negeri ini mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja di dalam negeri, malah ke luar negara sekali gus membantu menjana pendapatan usahawan IKS tempatan.

Langkah itu juga dapat membantu pelan induk kerajaan negeri memacu sosioekonomi dan membangunkan industri IKS dengan menyasarkan sumbangan IKS sebanyak 41 peratus.
Beberapa pengusaha IKS yang ditemui Utusan Malaysia sempena karnival itu menyambut baik usaha kerajaan negeri menganjurkan program tersebut.

Mereka berpendapat, sudah tiba masanya perusahaan IKS diperkasakan lagi untuk meningkatkan keupayaan, kebolehan dan kemapanan sektor IKS di negeri ini.

Peniaga makanan tempatan, Herny Kiong, 42, berkata, dia menyambut baik usaha kerajaan menganjurkan Karnival SME 2013 khusus untuk para pengusaha IKS di Sabah mengambil bahagian memperkenalkan produk mereka.

Katanya, karnival tersebut boleh menjadi pencetus minat kepada ramai bakal usahawan yang berminat menceburi bidang IKS terutama dalam kalangan belia di luar bandar.

“Baguslah kerana dengan adanya karnival ini dapat menambah jumlah pelanggan kami di samping mempromosikan produk kami kepada orang ramai," kata pemilik syarikat Gedung Selera Enterprise itu.

Herny yang berkecimpung dalam perniaga IKS sejak 10 tahun lalu memulakan perniagaannya dengan bantuan pinjaman kewangan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM1,000.

Dia yang turut berniaga di pasar besar Kota Kinabalu turut memasarkan produk makanan tempatan iaitu kerepek pisang dan ubi, lidah buaya dan baulu di kedai-kedai 1Malaysia.

Seorang lagi peniaga, Yudha Puji Yunianto, 29, berkata, produk IKS yang berjaya dikomersialkan akan memberi manfaat besar kepada peniaga terutama dari segi keuntungan pendapatan.

“Kami sangat berharap karnival ini diadakan selalu. Sebelum ini, produk rempeyek sukar didapati di Kota Kinabalu kerana asalnya dari Tawau dan walaupun ada yang dijual, cita rasa dan keasliannya tidak sama dengan yang ada di Tawau.

“Menyedari permintaan yang tinggi, kami mula memasarkan makanan ini di Kota Kinabalu tetapi tidak ramai yang tahu kerana tiada promosi besar-besaran.

“Alhamdulillah, menerusi Karnival SME ini, orang ramai terutama penggemar makanan ini sudah tahu di mana untuk mendapatkan rempeyek tanpa perlu ke Tawau untuk membelinya," ujarnya.

Seorang pengusaha kraftangan, Rogayah Timbuong, 46, yang menyertai karnival itu buat kali pertama berkata, penganjuran Karnival SME Sabah tersebut membantunya mendapatkan pengalaman.

“Melalui karnival seperti ini, saya dapat mencari pasaran baharu sekali gus mengembangkan perniagaan saya kerana yang datang ke karnival ini bukan sahaja untuk membeli tetapi ada juga yang mencari pembekal," katanya.

Berasal dari Daerah Kota Marudu, Rogayah mengusahakan produk kraf tangan eksotik iaitu rantai manik, kristal, gelang tangan, gumpas (rantai seperti manik).

Sumber : Utusan online

Tag : Berita

Baca : Karnival SME bantu usahawan IKS - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 38 - Matlamat 66
>www.inamurni.com Copyright © 2014

Artikel Terkait

Produk Berkualiti Keutamaan Kami

Tentang produk iks Malaysia, Pembekal dan tempahan biskut raya dan kerepek serta makanan tradisi dan doorgift perkahwinan, Resepi biskut raya, Info kerepek, Resepi masakan, Jom makan, Jom Jalan.

Sebarang urusan - Hubungi
Google maps - Lokasi
Matlamat IKS Malaysia - admin www.inamurni.com 

Terima kasih memberi komen, Insyaallah kami akan membalasnya, WhatsApp untuk tawaran yang menarik, Share untuk Ganjaran.
EmoticonEmoticon