Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 05, 2015

Membuat putu kacang tidak mudah

Membuat putu kacang tidak mudah

Berita - Membuat putu kacang tidak mudah

Muhamad Sharif menekan tepung kacang hijau ke dalam acuan kayu cengal berusia 100 tahun.

KENANGAN menolong emak membuat kuih putu kacang semasa kanak-kanak dahulu kembali segar ketika berkunjung ke rumah Muhamad Sharif Othman, 40, di Kampung Baru, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Semasa sampai di rumahnya, Muhamad Sharif yang sedang bercuti, sedang duduk berehat di laman rumah. Di hadapannya, ada dua dulang besar kuih putu kacang yang sedang dijemur.

Sambil mempersilakan penulis masuk, Muhamad Sharif berkata, biskut putu kacang lebih cantik warnanya jika dijemur selama satu atau dua hari, bergantung pada cuaca. Jika cukup panas, sehari sudah memadai tetapi jika hari hujan, ia perlu dijemur selama dua hari.

Kakitangan am Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini sudah empat tahun membuat putu kacang untuk dijual bagi menyambut Hari Raya.

Namun sebenarnya mengikut kata Muhamad Sharif, beliau sudah mula menolong arwah neneknya membuat putu kacang sejak berumur 10 tahun lagi.

Waktu itu, mereka tinggal di Kampung Pasir, Setapak, Kuala Lumpur dan arwah neneknya yang 15 tahun berniaga putu kacang memang dikenali kerana keenakan kuih tradisional yang dihasilkannya. Setiap kali hendak menyambut raya, mereka akan sibuk menyiapkan tempahan putu kacang.

Tempoh itulah juga memahirkan Muhamad Sharif membuat putu kacang sambil berniaga pada guru-guru di sekolahnya dan di pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur.

“Putu kacang ini merupakan sejenis kuih yang terkenal di Selangor. Jika di Melaka, orang memanggil kuih ini sebagai kuih koya,’’ kata bapa kepada empat orang anak yang berasal dari Asam Jawa, Kuala Selangor ini.

Muhamad Sharif yang tidak lokek berkongsi cara hendak membuat putu kacang mengakui untuk membuatnya tidak susah kerana resipinya ada dalam kepalanya.

Mendengar beliau menuturkan satu persatu bahan dan cara hendak membuat putu kacang, penulis lantas terfikir tidak ramai yang mungkin mahu membuat kuih tersebut.

“Bahan-bahannya tidak banyak, cuma kacang hijau dan gula halus sahaja.

“Mula-mula asingkan kacang hijau daripada bahan asing seperti batu, kulit luar dan sebagainya. Kemudian basuh bersih dan sangai (goreng tanpa minyak) hingga garing tapi jangan sampai hitam.

“Selepas itu giling semasa masih panas dengan batu giling yang di bawahnya dilapik dengan guni bersih bagi menanggalkan kulit hijau kacang itu.

“Kacang yang digiling tadi perlu ditampi bagi membuang kulitnya. Lepas itu baru dihantar ke kedai kisar bagi mengisar halus kacang hingga menjadi tepung,’’ jelas Muhamad Sharif.

Tambahnya, dua mangkuk tepung kacang hijau perlu dicampurkan dengan satu mangkuk gula halus dan diuli sambil direnjis-renjis dengan air suam. Kerja menguli ini pun mengambil masa selama dua jam supaya tepung dapat diuli rata.

Sebaik-baiknya embunkan tepung yang diuli itu semalaman tetapi jika tidak mahu diembunkan, lebihkan air renjisan. Tepung yang terlebih air renjisan pula perlu dijemur beberapa hari.

Menurut Muhamad Sharif, tepung tersebut hendaklah dipastikan boleh dikepal dan kemudian ditekan-tekan di dalam acuan hingga padat. Potong lebihan tepung menggunakan pisau dan sapu permukaan yang dipotong tadi dengan tepung kacang hijau yang tidak bercampur gula.

‘Pastikan tepung yang ditekan tadi betul-betul padat dan ketuk putu keluar. Susun dalam dulang hingga penuh dan jemur. Putu kacang ini walaupun tidak dibakar tetapi boleh tahan lama sehingga Hari Raya Haji,’’ katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Sapinah Halip, 40 tahun.

Beliau menggunakan dua batang acuan besar putu kacang yang dibuat daripada kayu cengal berusia lebih 100 tahun yang diwarisinya daripada moyang dan mentua.

Empat batang acuan kayu kecil yang mempunyai corak dan ukiran halus, iaitu corak limau mandarin, bunga sakura, mangga siam, strawberi, daun kelapa dan kipas turut digunakan.

Tambahnya, rasa putu kacang tradisional ini berbeza dengan putu kacang moden kerana putu kacang moden menggunakan tepung yang siap dikisar di kedai dan tidak disangai.
Muhamad Sharif menerima tempahan membuat putu kacang saiz kecil sehingga 3,000 keping sementara 500 keping bagi acuan besar yang terdiri daripada kepala bunga dan empat keping kelopak.

Bagi 100 keping putu kacang kecil dijualnya pada harga RM40, manakala putu kacang besar berharga RM4 bagi satu set lima keping.

Baca : Biskut Putu Kacang 2015

Katanya, mungkin ramai yang tidak pernah melihat putu kacang besar. Sebenarnya putu kacang besar ini mempunyai cerita dan peranan tersendiri di dalam adat Melayu.

“Putu kacang besar ini dahulunya dijadikan kepala hidang di atas meja semasa Hari Raya. Orang bujang yang pergi beraya di rumah yang ada anak dara dan berkenan pula dengan gadis tersebut akan meletakkan duit sebanyak RM10 atau ikut kemampuan pada kepala hidang itu.

“Kemudian tuan rumah akan ambil kepala hidang dan bawa ke dapur. Tuan rumah akan ambil sebahagian kepala hidang dan beri semula kepada orang bujang itu, tandanya tuan rumah bersetuju menerimanya. Orang bujang tersebut akan pulang dan berbincang bersama keluarga dan menyusul pinangan secara rasmi,’’ jelas Muhamad Sharif.

Selain putu kacang, ada juga yang membuat baulu kepala ikan besar, halwa betik atau kek sebagai kepala hidang. Bagaimanapun pada hari ini kita tidak dapat lagi melihat kepala hidang seperti ini semasa berkunjung ke rumah orang.

Muhamad Sharif turut membuat kuih tradisional lain seperti kacau keledek, kacau labu, kacau kacang hijau dan kacau kacang tanah bagi pelanggan yang menempah untuk hantaran perkahwinan juga Hari Raya.

Jika ada yang hendak merasa putu kacang Muhamad Sharif, boleh menghubunginya di 017-6413369.

Sumber : Utusan online

Tag : Berita

Baca : Membuat putu kacang tidak mudah - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 121 - Matlamat 231>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya

Isnin, April 13, 2015

Penuhi permintaan biskut raya

Penuhi permintaan biskut raya

Menurut Zurliyanti, beliau tidak mengupah pekerja kerana perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan sahaja. Perniagaan itu dijalankan di rumah.


Katanya, setiap tahun masuk sahaja minggu pertama Ramadan, beliau tidak lagi mengambil tempahan.

“Bimbang tak sempat nak siapkan. Lagipun, sebagai peniaga saya perlu ukur kemampuan sendiri sebelum mengambil tempahan,” katanya yang menetap di Subang Perdana, Subang.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, beliau telah menyiapkan lebih 150 kotak biskut Sanggul Mak Dara yang dijual pada harga RM35 setiap sekotak.

Produk - Biskut Raya

Rata-rata pelanggannya yang membuat tempahan terdiri daripada penduduk Kuala Lumpur, Kedah dan Johor.

“Mereka ini semuanya kenalan, saudara-mara yang terdekat dan ada juga kalangan yang hadir ketika pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 yang berlangsung pada 17 Jun lalu di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur,”ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Demi tuntutan rezeki, Zurliyanti bangun seawal 6 pagi setiap hari untuk menyediakan bahan-bahan membuat biskut berkenaan.

Selepas solat Subuh beliau akan mula menyediakan adunan biskut seperti tepung dan telur yang akan berakhir sekitar pukul 11 malam termasuk menguli, membakar dan mengukir bentuk di atas biskut berkenan.

Dalam sehari, Zurliyanti menghabiskan sebanyak tiga paket tepung gandum, satu paket tepung jagung, gula satu kilogram (kg), kelapa kering 500 gram(g) dan satu botol minyak jagung Daisy untuk menyediakan untuk menyediakan kira-kira 250 keping biskut.

Rahsia biskut sedap

Berbekalkan berpengalaman hampir sedekad dalam pembuatan biskut dan kek, beliau mengakui rahsia biskut raya menjadi sedap kerana menggunakan minyak jagung Daisy.

“Selalunya untuk membuat biskut, bahan utama yang digunakan ialah marjerin atau mentega tetapi berbeza pula apabila menggunakan minyak jagung Daisy. Biskut akan cair di mulut selain gebu dan rangup.

“Sejak sedekad lalu, saya tidak pernah menggunakan minyak dalam pembuatan biskut tetapi setelah menyertai pertandingan Daisy, barulah saya mengetahui tekstur biskut menjadi lebih sedap jika menggunakan minyak Daisy,” jelasnya yang turut mempraktikkan segala tip dan petua yang ditimba bersama Chef Liza Zainol.

Selain itu, ulian tepung perlu digaul dengan teliti. Jika tidak kena gayanya, ia akan mengakibatkan ulian tersebut tidak menjadi.

Baca juga - Cabaran usahawan aidilfitri

Menyingkap pengalaman seminggu sebelum menyertai pertandingan Daisy, Zurliyanti mengakui berhadapan dengan tekanan setiap kali menguli tepung dengan minyak.

“Dengan menggunakan minyak, saya memang berasa tertekan kerana biskut seringkali tidak menjadi sekali gus menyebabkan beberapa dulang biskut terpaksa dibuang begitu sahaja.

“Namun, mujur saya berminat membuat biskut, jadi tidak mudah berputus asa sebaliknya melakukan beberapa kali sehingga berjaya,” katanya sambil memberitahu suaminya, Ahmad Lamhali, 39, sentiasa memberi dorongan.

Dalam pada itu, anak kepada guru masakan itu mengakui menceburi bidang pembuatan biskut mahupun kek menuntut ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Cabaran hias biskut

Salah satu cabaran membuat biskut ialah ketika membuat hiasan.

“Ia nampak mudah untuk melukis garisan empat segi di atas inti nanas, hakikatnya ia amat sukar kerana garisan tersebut susah untuk dibentuk supaya kelihatan sama rata,”ungkapnya.

Bagi mengelakkan perkara itu, beliau melakukan garisan secara dekat agar ia tidak mencacatkan bentuk biskutnya itu. Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau merancang untuk membuka tapak di bazar Ramadan untuk menjual biskut-biskut ciptaannya itu.

Baca juga - Biskut raya, kini mudah beli

Justeru, beliau akan mengupah beberapa pekerja untuk menghias biskut sahaja memandangkan Zurliyanti sendiri akan melakukan kerja-kerja mengadun tepung.

“Jika tiada apa-apa halangan, saya dan suami akan menjalankan perniagaan itu nanti. Ia akan mudah dengan bantuan pekerja dan boleh menerima tempahan yang banyak,” katanya yang membuka kelas membuat biskut.

Sehubungan itu, kepada yang berminat mengikuti kelas membuat biskut dan kek, boleh menghubungi Zurliyanti di talian 016-268 9094.

Sementara itu, Rosni Johari, 36, yang aktif dalam perniagaan kek sejak lima tahun lalu berjinak-jinak dengan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual muruku yang dihasilkan oleh ibunya, Fatimah Junuh, 57.

Guru mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Bukti Mertajam Pulau Pinang itu menjual kuih berkenaan kepada rakan-rakan dan guru di sekolah.

“Selalunya apabila tiba musim perayaan, tempahan akan meningkat mendadak sehinggakan ibu saya terpaksa membuatnya hampir setiap hari bagi memenuhi permintaan.

“Apa yang lebih menggembirakan, muruku yang dihasilkan ibu saya ini turut mendapat permintaan daripada para pelajar Malaysia yang belajar di Amerika Syarikat," kata Rosni ketika ditemui di rumahnya di Lunas, Kedah baru-baru ini.

Baca juga - Biskut Raya tepati cita rasa

Menurut Rosni, muruku yang dijual pada harga RM8.50 bagi setiap 500 gram itu turut mendapat permintaan yang tinggi di Sabah dan Sarawak hasil inisiatif rakannya yang membawa maruku tersebut untuk dijual sejak beberapa tahun lalu.

Apakah keistimewaan muruku ibunya? Rosni memberitahu, ibunya menggunakan rempah ratus yang dihasilkan sendiri dalam menghasilkan kuih berkenaan.

“Dengan menggunakan rempah yang dihasilkan sendiri, muruku akan menjadi lebih sedap dan warnanya juga menjadi lebih menarik,” kata juara kategori kek pertandingan Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 itu.

Walaupun muruku yang dihasilkan oleh ibunya itu masih dalam kuantiti yang sedikit, namun beliau juga ada perancangan untuk memperbesarkan perniagaan tersebut.

“Saya bercita-cita untuk memasarkan muruku tersebut ke kedai-kedai dan pasar raya di dalam negara.

“Namun, disebabkan masalah modal, kami menangguhkan hasrat tersebut dan apa yang kami mampu buat setakat ini hanyalah menghasilkan maruku berdasarkan tempahan sahaja,” katanya.

Sumber : Kosmo online

Baca : Penuhi permintaan biskut raya - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 120 - Matlamat 193>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya

Sabtu, April 11, 2015

Legasi perniagaan kerepek melonjak

Legasi perniagaan kerepek melonjak

Berita - Legasi perniagaan kerepek melonjak

Dua pekerja mengupas kulit ubi kayu sebelum diproses menjadi kerepek.

KOTA TINGGI 20 Nov. - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Perumpamaan itu yang menggambarkan kelangsungan perniagaan memproses dan membekal makanan ringan tradisional yang diusahakan Mohd. Jofrry Selamat, 65, dan isteri, Sabiah Saleh, 61, dari Felda Papan Timur di sini sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Bermula secara kecil-kecilan dengan modal sebanyak RM500, produk antaranya kerepek ubi dan cakar itu kemudiannya dijual sendiri oleh Mohd. Jofrey di sekeliling tanah rancangan itu dengan menggunakan motosikal.

Berkat kesungguhan dan kerja keras pasangan itu, mereka akhirnya berjaya mengembangkan perniagaan sedia ada hinggalah mampu menyewa sebuah kedai di Felda berkenaan untuk dijadikan pusat pemerosesan dan jualan.

Kelangsungan perniagaan pasangan itu tidak terhenti di situ malah diteruskan oleh dua daripada empat anaknya iaitu Rozaimah, 45, dan Shaifuzi, 35.

Baca juga - Kerepek Ubi Kayu Tawau Yang Unik

Syarikat Usaha Sama (SUS) yang ditubuhkan keluarga tersebut kini semakin berkembang maju dan telah menghasilkan lebih 20 produk makanan ringan, antaranya ubi masin, kerepek pisang, semperit dan yang paling popular iaitu ubi pedas.

Menceritakan tentang perniagaan anak beranak itu, Shaifuzi yang bertindak sebagai pengurus syarikat mengakui kejayaan yang ditempa hari ini tidak datang bergolek kerana mereka pernah mengalami turun naik dalam perniagaan.

Pada mulanya, emak hanya mengusahakan perniagaan ini di belakang kedai runcit dengan hanya berbekalkan sebuah kuali dan produk-produk yang dihasilkan ketika itu dijual menggunakan motosikal selain diletakkan di kedai-kedai runcit berhampiran.

"Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Produk emak ketika itu pernah dilarang dijual di kedai apabila peniaganya mendakwa tidak sedap dan tidak laku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Baca juga - Berita kerepek ubi Batu Pahat

Shaifuzi memberitahu, apa yang terjadi tidak pernah mematahkan semangat ibunya, malah dijadikan sebagai satu cabaran bagi menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti tinggi.

Keazaman dan sikap cekal yang ditunjukkan oleh Mohd. Jofrry dan Sabiah itu sedikit sebanyak menjadi pendorong dan ikutan dua beradik itu apatah lagi sering mengikuti ibu bapa mereka itu berniaga sejak kecil.

"Mungkin sebab sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan alam perniagaan memberi kelebihan kepada kami kerana lebih awal merasai asam garam dalam perniagaan.

"Alhamdulillah, produk-produk kami ini bukan sahaja telah berkembang sehingga ke Lembah Klang, malah turut dikenali pelancong khususnya dari Singapura yang berkunjung ke daerah ini," katanya.
Menurutnya, syarikat tersebut yang mempunyai 13 pekerja turut dilengkapi dengan beberapa mesin berteknologi tinggi bagi memastikan pengeluaran produk dalam kuantiti yang lebih besar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Ini kerana permintaan terhadap produk makanan ringan tradisional tersebut akan bertambah setiap kali menjelangnya perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau musim perayaan, kami memperuntukkan lebih 100 tan metrik ubi kayu. Seperkara menarik yang saya boleh kongsi pada hari raya, orang ramai terpaksa beratur untuk dapatkan ubi pedas kerana permintaannya sangat luar biasa," katanya.

Ditanya perancangannya pada masa depan, Shaifuzi dan Rozaimah sepakat mahu mengembangkan lagi produk-produk keluaran SUS di seluruh negara selain memastikan anak cucu mereka dapat meneruskan legasi perniagaan tersebut sampai bila-bila.

Kejayaan syarikat SUS tidak hanya dinikmati Mohd. Jofrry dan Sabiah bersama anak-anaknya, malah mereka turut membantu peniaga lain khususnya yang baharu bertapak dalam bidang perniagaan.


Shaifuzi memberitahu, pihaknya membantu menjual produk-produk usahawan lain, antaranya dari Felda Waha, Felda Lok Heng termasuk Pusat Dalam Komuniti Mas Timur.

Antara produk-produk yang dijual itu ialah makanan sejuk beku, epok-epok mini, kuih siput, popiah dan kuih kapit.

"Dulu kita susah, jadi kita tahu macam mana jerih perih berniaga. Justeru, bila diberi kesenangan, janganlah kita lupa diri sebaliknya gunakanlah kesempatan itu untuk membantu orang lain pula.

"Jika kita ikhlas dalam berniaga ini, pintu rezeki akan sentiasa terbuka. Itulah pegangan saya dari dahulu lagi," katanya.

Baca juga - Kisah kejayaan usahawan IKS Malaysia

Katanya, kewujudan SUS di Felda sedikit sebanyak membantu warga tanah rancangan itu, khususnya golongan suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan.

Bagi Normah Mohd., 38, bekerja di syarikat tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk memperoleh pendapatan sampingan.

"Daripada buang masa baik kami bekerja, dapat jugalah duit untuk beli barangan harian. Waktu kerja pula fleksibel kerana waktu tengah hari boleh pergi ambil anak balik sekolah.

"Lagipun, saya dah beberapa tahun bekerja di sini dan suka dengan suasana kerjanya selain mempunyai majikan yang baik," katanya.

Sumber: Utusan Online

Baca : Legasi perniagaan kerepek melonjak - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 119 - Matlamat 191>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya
Zayn Malik ditawarkan jawatan di kilang kerepek

Zayn Malik ditawarkan jawatan di kilang kerepek

Zayn Malik ditawarkan jawatan sebagai Ketua Penguji Rasa di sebuah kilang kerepek di Bradford.

LONDON: Zayn Malik telah ditawarkan jawatan di sebuah kilang kerepek.
Penyanyi berusia 22 tahun itu telah ditawarkan jawatan sebagai Ketua Penguji Rasa di kilang kerepek Seabrook di tempat lahirnya di Bradford, lapor Daily Star.

Zayn Malik pada Rabu telah mengumumkan keluar daripada kumpulan terkenal One Direction untuk menjalani "kehidupan biasa."

Sebuah surat yang turut memaparkan judul terkenal kumpulan pop itu bertulis: ''Kami simpati mendengar berita tentang keputusan anda untuk meninggalkan kumpulan One Direction, namun Seabrook ingin memberi peluang yang kami harap akan dapat buat anda tersenyum.

''Kami faham keinginan anda untuk menjalani kehidupan biasa dan kami rasa dapat membantu memenuhi hasrat anda untuk pulang dengan membantu anda kembali ke tempat asal anda di Bradford.

''Kami ingin menawarkan jawatan sebagai Ketua Penguji Rasa role dan jika anda anak jati Bradford, maka kami yakin anda pasti tahu bagaimana rasanya kerepek yang sedap.''

Surat tawaran kerja itu ditulis oleh pengarah pemasaran Seabrook Kevin Butterworth.

Sumber: Astro awani

Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 118 - Matlamat 190>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya

Jumaat, April 10, 2015

Kulit popia bawa kejayaan

Kulit popia bawa kejayaan

Berita - Kulit popia bawa kejayaan

Faiz Asraf Sulaiman bersama produk kulit popia goreng yang berjaya dikomersialkan di bawah jenama Empire's Crackers.

PEMBABITAN Faiz Asraf Sulaiman dalam dunia perniagaan berlaku secara kebetulan, malah dia sama sekali tidak pernah menduga percubaan pertama dengan tiada pengalaman serta kemahiran 'menjadi'.

Apa yang dilakukannya adalah semata-mata memenuhi permintaan ramai yang ingin merasai kudapan hasil resipi ibunya.

Yang pasti, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor, ini mampu membuktikan kemampuan diri dan tidak malu untuk belajar dari bawah.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan ini, ulas Faiz, kesemua idea datang daripada kakaknya yang gemar makan kulit popia digulung dan digoreng rangup bersalut cili.

Tambah Faiz, kakaknya sudah berusaha mencari makanan tersebut di merata tempat tetapi tidak ketemu malah semakin kerap menyuruh ibunya menyediakan kudapan tersebut.

Faiz turut memberitahu, setiap hari kakaknya tidak akan ketinggalan membawa bekal kulit popia gulung goreng tersebut ke pejabat untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

Bermula daripada situlah Faiz berkata, permintaan daripada rakan-rakan kakaknya semakin banyak secara tidak langsung memberi idea untuk memasarkan secara komersial.

Baca juga - Rezeki popia mini

"Segala-galanya berlaku dengan pantas kerana ketika itu saya masih bekerja di salah sebuah hotel di ibu kota sebagai chef pastri.

"Apabila setiap hari melihat kakak balik dan memberitahu ibu bahawa rakan-rakannya meminta untuk dibawa ke pejabat dan mereka ingin membelinya, terus saya mendapat idea kenapa tidak memasarkan sahaja produk tersebut kerana permintaannya banyak.

"Setelah berbincang dengan ibu serta ayah, akhirnya mereka setuju untuk membantu saya seterusnya memasarkan produk tersebut di pasaran," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak terhenti setakat itu, perniagaan yang diusahakan Faiz sejak Mei tahun lalu semakin mendapat perhatian dan permintaan.

Walaupun berkelulusan dalam bidang kulinari, Faiz sanggup mengikuti kelas mempelajari selok belok bahagian pemasaran dan tidak ketinggalan bidang perniagaan.

Kesemua usahanya ini adalah untuk mencari pasaran produknya yang dikenali sebagai Empire's Crackers.

Hanya menampilkan resipi yang ringkas dan mudah, kulit popia gulung ini sebenarnya sedap dikunyah pada waktu lapang.

Hari ini dengan berpendapatan satu hari menyamai gajinya sebulan ketika bekerja dahulu, anak ketiga daripada empat beradik ini merancang pelbagai strategi masa depan perniagaannya.
Selain menjual produknya secara dalam talian, Empire's Crackers juga boleh didapati di kedai bakeri dan juga kedai mesra stesen minyak.

Tidak terhad di situ, Empire's Crackers juga kini telah berada di pasaran Brunei.
Kegigihan anak muda ini ternyata mencabar usianya yang baru mencecah 22 tahun kerana segala-galanya dilakukan hanya dengan bantuan keluarga tercinta.

Cuma mempunyai pekerja seramai tiga orang untuk menggulung kulit popia, Faiz berbangga kerana walaupun hanya setahun berada di pasaran, dia berjaya mengeluarkan dua lagi perisa Empire's Crackers selain perisa cili iaitu nestum dan milo.

Juga kini dalam perancangan untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak, Faiz memberitahu kajian turut diadakan untuk menambah dua lagi perisa produknya iaitu BBQ dan bersalut madu.

"Saya tahu apa yang dirancang ini mungkin nampak terlalu tamak ataupun terlalu mendadak tetapi disebabkan permintaan yang semakin tinggi ia menjadikan saya begitu bercita-cita tinggi.

"Mungkin selepas dua perisa baru berada di pasaran, saya ingin mengembangkan produk saya kepada produk makanan segera.

"Yang pasti, jenama Empire akan dikekalkan untuk setiap produk keluaran saya," katanya.

Sumber: Utusan Online

Baca : Kulit popia bawa kejayaan - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 117 - Matlamat 189>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya
Dulu tumpang, kini tauke

Dulu tumpang, kini tauke

Bermula dengan meman­faatkan lambakan bekalan ubi kayu dari ladang bapa­nya sebagai kerepek ubi pedas basah yang dijual di pasar tani, Zarinah Ibrahim, 51, kini antara pengusaha dan pembekal kerepek ubi utama di Selangor.

Pada 1986, kerepek ubi pedas keluarannya cuma dipasarkan dengan menumpang lot perniagaan seorang rakan di pasar tani Sulaiman Court, Kuala Lumpur (kini bangunan Sogo). 

Sambutan menggalakkan daripada pelanggan memberi semangat untuknya berniaga secara serius. Dia kemudian memohon tapak perniagaan sendiri di pasar tani berkenaan untuk berniaga kerepek ubi pedas dan tapai. 

“Saya mula berniaga tapai pada 1985 bagi menambah pendapatan keluarga. Suami (Mohd Nasir Miskam, 55) yang juga guru akan meletakkan tapai berkenaan di kedai dan warung sepanjang laluan untuknya ke sekolah di Cheras.

“Ketika berniaga di pasar tani, kerepek ubi pedas yang saya bung­kus dalam paket kecil habis dijual. Habis bekalan ubi kayu dari ladang ayah di Ampangan, Seremban, saya dapatkan bekalan ubi kayu di Sungai Pelek, Sepang, iaitu kampung kelahiran suami.

“Setiap minggu kami pulang ke Sungai Pelek untuk mengambil bekalan ubi. Apabila perniagaan semakin maju, pada 1992, kami mengambil keputusan berpindah ke Sungai Pelek dan membeli tanah bagi mendirikan rumah dan kilang kerepek,” katanya ketika ditemui di Kampung Hulu Chuchuh, Sungai Pelek, Sepang. 

Pengarah Ketemu Rezeki Maju (M) Sdn Bhd itu berkata, antara cabaran ialah mendapatkan bekalan ubi kayu berterusan. 

“Kami menghadapi masalah kekurangan bekalan ubi kayu dua tahun lalu. Ubi kayu mengambil masa sembilan bulan sebelum dituai, menyebabkan berlaku kekurangan bekalan jika ia tidak ditanam secara berperingkat. 

“Apabila harga bahan mentah meningkat, kami juga terpaksa menaikkan harga kerepek. Harga ubi kayu pernah naik 100 peratus menyebabkan timbul idea untuk menanam sendiri ubi kayu bagi menjamin bekalan berterusan. 

“Selain itu, wujud per­saingan daripada pengusaha kerepek lain. Di kampung ini saja ada sehingga 30 pengusaha yang menghasilkan kerepek ubi,” katanya. 

Zarinah mengusahakan 40 hektar ladang ubi kayu yang ditanam di tanah yang dipajak di kampung berkenaan dan ladang Teluk Merbau. 

Baca juga - Berita kerepek ubi Batu Pahat

Dia bersyukur usaha gigihnya membangunkan perniagaan berjaya membuahkan hasil. Menerusi sebuah agensi, Zarinah mengeksport kerepek ubi keluarannya ke London dan Dubai pada 2011. 
Bagaimanapun, disebab­kan masalah kekurangan bekalan bahan mentah, dia tidak berani meneruskan kontrak berkenaan. 

“Jika ada rezeki, saya berhasrat memasarkan kembali kerepek ubi saya ke luar negara,” katanya yang kini melatih dan membimbing usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), memproses, mengedar, membekal dan memborong makanan ringan serta hamper. 

Memiliki 10 pekerja, Zarinah meraih pendapatan bersih kira-kira RM7,000 sebulan selepas ditolak gaji pekerja dan kos. 

Pendapatannya berkurangan berbanding dulu kerana menanggung kos bahan bagi penghasilan kerepek yang semakin meningkat. Sebelum ini, dia mampu meraih antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan. 

Zarinah bersyukur usahanya membangunkan perniagaan itu mendapat banyak galakan daripada agensi berkaitan. 

Baca juga - Kisah kejayaan usahawan IKS Malaysia

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) antara agensi awal yang banyak memberi laluan untuknya berniaga, iaitu dengan menyediakan tapak perniagaan di pasar tani dan Jabatan Pertanian memberi bantuan mesin menggoreng, mesin pemotong ubi kayu dan mesin pemutar bancuhan perisa kerepek secara percuma dan berperingkat. 

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang pula menanggung kos pembinaan bangunan yang menjadi pusat sehenti atau jualan kerepek. Selain produk keluarannya, Zarinah membantu pengusaha kecil lain memasarkan produk mereka menerusi pusat sehenti berkenaan. 

Zarinah turut mendapat tunjuk ajar Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam menghasilkan perisa berlainan untuk kerepek ubi keluarannya.

Sumber: Metro

Baca : Dulu tumpang, kini tauke - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 116 - Matlamat 188>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya

Rabu, April 08, 2015

Buat rempeyek secara suka-suka

Buat rempeyek secara suka-suka

SUZI Sabtu menunjukkan rempeyek yang siap sedia untuk dipasarkan di sekitar Jerantut dan kawasan lain semasa musim perayaan Aidilfitri, baru-baru ini.

JERANTUT 5 Sept. – Rempeyek dan tumpi merupakan kuih tradisional yang digemari oleh masyarakat Melayu di negara ini kerana mempunyai keenakan tersendiri.
Kuih itu turut digemari kaum lain termasuk Cina dan India serta boleh dianggap sebagai Rempeyek kuih 1 Malaysia.

Berdasarkan sejarah, kuih tersebut popular dalam kalangan masyarakat Jawa yang berhijrah ke negara ini hampir seabad lalu.

Justeru, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai pengusaha mewarisi pembuatan kuih tersebut kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Namun, tidak ramai pengusaha yang masih mengekalkan bentuk, mutu dan rasa asli kerana ia diubah suai bentuk serta ramuannya.

Justeru, sekumpulan suri rumah dari Kampung Koi, Hulu Cheka dekat sini memajukan kuih tersebut sebagai satu industri makanan tempatan.

Pengusaha Rempeyek, Suzi Sabtu, 37, berkata, perusahaan rempeyek di bengkel miliknya kini memasuki tahun ke-13 yang memberi manfaat menjana pendapatan sampingan khususnya membantu golongan suri rumahtangga di kampung itu mengisi masa lapang.

Menurutnya, sejak dimulakan pada 1999 dengan bermodalkan RM500, usahanya kini berbaloi kerana menjadi model usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini.
“Peringkat awalnya, saya membuat rempeyek secara suka-suka untuk makanan keluarga dan jiran sahaja.

“Namun tidak disangka pula, rempeyek mula mendapat permintaan dan menerima tempahan pelanggan di sekitar Hulu Cheka, Damak dan Bandar Jerantut,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika di sini, baru-baru ini.

Baca juga - Usahawan Rempeyek Mini

Menurutnya, apabila sambutan yang diterima menggalakkan, Jabatan Pertanian dan RISDA memberi bantuan kewangan serta bimbingan sehingga membolehkan sebuah bengkel diwujudkan.

Antara suri rumah yang bekerja sambilan menyediakan rempeyek di bengkel Kampung Koi, Hulu Cheka, Jerantut.

Suzi berkata, perusahaan makanan itu bukan sahaja dilakukan memenuhi permintaan musim perayaan, tetapi menjadi rutin tetap produk tersebut memenuhi pasaran di daerah ini dan kawasan lain.

“Saya menceburkan diri dalam bidang IKS ini bagi menyahut seruan kerajaan iaitu untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar terutama di kalangan suri rumah tangga’' katanya yang kini mempunyai lima pembantu terdiri daripada orang kampung di situ.

Kini katanya, dia dibantu oleh lima suri rumah di kampung tersebut untuk menyiapkan tempahan.

‘‘Ini antara amal jariah saya dalam membantu mereka memperoleh pendapatan sampingan dan mengurangkan beban keluarga berkenaan,” katanya.

Katanya, setiap kali musim perayaan pendapatan bersih diterima mencecah RM10,000 sebulan berbanding pada hari biasa iaitu antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Bagi seorang suri rumahtangga, Fatimah Mustafa, 28, berkata, sejak bekerja di bengkel itu beban perbelanjaan dapurnya sedikit ringan hasil upah bekerja di situ.

“Pendapatan juga bertambah apabila menjelang perayaan dan ketika banyak tempahan rempeyek dari luar,” ujarnya.

Rakannya, Salana Jamikon, 37, berkata, bekerja di situ dapat membantu meningkatkan kemahiran cara membuat rempeyek kerana ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Katanya, pendapatan yang diterima dapat menanggung beban kewangan keluarganya dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan suri rumah kampung tersebut.

Sumber: Utusan online

Tag : Berita

Baca : Buat rempeyek secara suka-suka - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 115 - Matlamat 185>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya
Cabaran dalam ekonomi baru

Cabaran dalam ekonomi baru

IKS hadapi cabaran dalam ekonomi baru

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih lagi bergelut dengan isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi "lama," dan sekarang terpaksa pula menghadapi keperluan untuk menangani cabaran-cabaran yang membentuk rupa dan kandungan ekonomi dunia "baru".
Kebanyakan cabaran itu adalah berkaitan dengan proses-proses globalisasi dan liberalisasi perdagangan.

Dr. Ragayah Mat Zin, profesor madya ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata bahawa sementara mereka yang berdaya ketahanan untuk terus hidup daripada kelembapan ekonomi terus bergelut dengan isu-isu yang sentiasa menghantui IKS, cabaran-cabaran baru pula telah muncul.

Cabaran-cabaran itu, sebahagian besarnya di dalam bentuk perubahan pesat dalam teknologi, kesan globalisasi dan liberalisasi perdagangan dan kemunculan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).

Penerusan isu-isu "ekonomi lama" termasuklah masalah IKS kekurangan modal, kekurangan sumber manusia, tahap teknologi yang rendah dan kawalan mutu yang lemah, prasarana perindustrian tidak mencukupi, dan kurang penggunaan bantuan kerajaan.

''Di dalam persekitaran baru ini, kita boleh melihat IKS sebagai satu sumber pertumbuhan diperbaharui cuma jika mereka boleh menangani masalah-masalah kewangan mereka, mengatasi halangan-halangan sumber manusia mereka, menerima pakai dan menyesuaikan teknologi-teknologi baru dan juga mengatasi kekurangan maklumat," beliau berkata di dalam kertas kerja yang dibentangkan pada persidangan Tinjauan Masa Depan Ekonomi Kebangsaan MIER 2001 di sini hari ini.

Baca juga - Masalah IKS dapatkan pinjaman

Satu pendekatan penting bagi IKS untuk mengatasi cabaran-cabaran itu ialah menubuhkan ikatan strategik dengan pelbagai pihak.

Dr. Ragayah berkata memandangkan daya saingan semakin didefinisikan oleh teknologi utama, IKS Malaysia mestilah membangun keupayaan bagi menerima pakai dan menyesuaikan teknologi-teknologi itu bagi kegunaan mereka sendiri.

"Sementara langkah ini akan menambah kepada masalah-masalah yang mereka telah hadapi, ia perlu diambil sekiranya mereka mahu meneruskan hidup di dalam order ekonomi baru," katanya. - Bernama

Sumber: Utusan online

Tag : Berita

Baca : Cabaran dalam ekonomi baru - INA MURNI ENTERPRISE
Admin and technical support powered by Ahmad Munir 02 / 114 - Matlamat 184>www.inamurni.com Copyright © 2014
Baca selengkapnya